Skip to main content

Malaysia

Kedah harap pembenihan awan diteruskan, paras air empangan kian susut

KUALA NERANG, 29 Julai - Paras takungan di Empangan Muda dan Empangan Pedu semakin menyusut di mana setakat hari ini masing-masing mencatatkan pada paras 8.36 peratus (Empangan Muda) dan 40.87 peratus (Empangan Pedu) ketika tinjauan fotoBernama di sini hari ini. Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan melaksanakan operasi pembenihan awan di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini. Ahmad Zahid berkata operasi itu bagi meningkatkan para
Mohamad Yusoff berkata, paras air di Empangan Pedu kini berada pada tahap 38.46 peratus berbanding 39.02 peratus pada 2 Sept. - Gambar Bernama
Advertisement

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah berharap Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diteruskan bagi membantu meningkatkan paras air empangan di negeri itu yang kian menyusut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri Datuk Mohamad Yusoff Zakaria berkata walaupun operasi yang dilaksanakan pada Khamis hingga semalam berjaya menghasilkan hujan, ia masih belum mencukupi untuk meningkatkan takungan di empangan.

Beliau berkata sebelum OPA dilaksanakan pada 2 Sept lepas, jumlah keseluruhan takungan air di tiga empangan utama, iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning adalah sebanyak 37.14 peratus dan pagi ini menyusut kepada 36.64 peratus.

“Jumlah takungan air di tiga empangan berkenaan semakin susut. Kami tahu usaha melaksanakan OPA telah dibuat oleh kerajaan tetapi tahap keberkesanan operasi itu masih rendah. Jadi, kami harap NADMA akan melakukan operasi pembenihan awan lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Mohamad Yusoff yang memperincikan data itu berkata paras air di Empangan Pedu kini berada pada tahap 38.46 peratus berbanding 39.02 peratus pada 2 Sept manakala Empangan Muda mencatatkan 9.04 peratus berbanding 9.32 peratus sebelum ini.

Takungan di Empangan Ahning pula merekodkan 45.00 peratus berbanding 45.32 peratus bagi tempoh sama.

Beliau berkata bekalan air empangan yang mencukupi sangat penting bagi memastikan sistem pengairan sawah padi berjalan lancar memandangkan sektor pertanian di Kedah amat bergantung kepada sumber berkenaan.

“Diharapkan hujan lebat di kawasan empangan untuk membantu sektor pertanian dan kami terus berdoa supaya hujan lebat di kawasan tadahan dan empangan yang terjejas agar paras air meningkat,” katanya. 

Terdahulu, kerajaan mengambil langkah awal dan bersasar bagi menghadapi keadaan cuaca kering, kekurangan hujan serta risiko kemerosotan kualiti udara melalui pelaksanaan OPA di Kedah dan Perlis. 

Usaha itu penting bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pengairan pertanian terus terjamin ketika berlaku keadaan cuaca kering.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement