Pelan Pembangunan Kedah 2035, ke arah mencapai status negeri maju, masih mampu dicapai walaupun berdepan dengan cabaran COVID-19, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

Beliau berkata projek-projek pembangunan fizikal berimpak tinggi yang telah dirancang di Kedah akan diteruskan dengan sasaran asalnya akan terus dinilai agar sesuai dengan situasi semasa.

"Dengan projek tersebut, kita akan dapat menjana pendapatan serta menyediakan peluang pekerjaan dan itu penting supaya rakyat Kedah dapat berkhidmat dalam sektor yang mampu memberi lebih pendapatan kepada mereka.

"Pada masa ini kita lihat sektor tertentu akan berkembang tetapi bukan dengan cara kita anggarkan sebelum ini.

"Namun, kita mesti sampai ke sasaran ditetapkan tetapi dengan pendekatan sedikit berbeza, bersandarkan kepada norma baharu (kelaziman baharu)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi "Sembang Kedah Produktif: Pasca COVID-19 Bersediakah Kedah?" secara langsung dalam laman Facebook Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara di sini, pada Isnin.

Ammar berkata kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk mempertingkat sistem perhubungan dalam taliannya bagi membolehkan urusan dengan rakyat menjadi lebih efektif serta efisien.

Katanya semua pihak perlu bersedia untuk mengadaptasi kelaziman baharu susulan berlakunya perubahan dalam 'landskap kehidupan' yang tercetus akibat penularan COVID-19.

Beliau berkata kaedah itu sebenarnya memberi lebih kemudahan kepada rakyat kerana jika diaplikasikan secara betul, orang ramai tidak perlu lagi datang ke mana-mana jabatan untuk berurusan.

"Namun kerajaan negeri sedar terdapat beberapa halangan untuk melaksanakan perkara itu secara menyeluruh, antaranya berkaitan capaian internet di luar bandar.

"Kita telah mohon kepada kerajaan Persekutuan bagi memastikan capaian terutamanya di luar bandar dipertingkatkan dan dalam masa sama kita harapkan supaya data dapat diberikan pada kadar lebih murah," katanya.

Selain itu katanya, cabaran juga wujud dalam proses pembelajaran secara dalam talian melibatkan para guru dan pelajar.

"Antara cabarannya, ketiadaan gajet pintar serta masalah data dan saya difahamkan apabila anak-anak belajar secara dalam talian, mereka berdepan masalah tertentu seperti tidak cukup data untuk muat turun fail diberikan guru," katanya.

-- BERNAMA