Skip to main content

Malaysia

Kediaman bertingkat dihuni etnik Rohingya bakal dirobohkan ikut peraturan - MB Selangor

SHAH ALAM, 5 Mei -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dan Pembukaan Program Gagasan Rumpun Selangor Tahun 2026 di Seksyen 17 hari ini.  -- fotoBERNAMA
Amirudin turut menyeru orang ramai merujuk kepada fakta serta kenyataan rasmi pihak berkuasa dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan di media sosial. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bangunan kediaman bertingkat yang didiami etnik Rohingya dan tular baru-baru ini di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat bakal dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebahagian besar struktur bangunan tersebut didirikan di atas lot tanah milik persendirian, manakala sebahagian kecil lagi berada dalam kawasan rizab jalan.

"Berhubung dengan bangunan kediaman bertingkat yang dimaksudkan, satu tindakan perobohan akan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya ketika berkongsi kenyataan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat di 

Tambahnya, PDT Hulu Langat berserta semua agensi penguatkuasaan daerah komited dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan berlandaskan lunas undang-undang.

Amirudin turut berkata, terdapat beberapa struktur bangunan kediaman yang didirikan secara tidak sah dan pernah didiami oleh penduduk etnik Rohingya di atas lot tersebut serta lot bersebelahan yang merupakan rizab sungai. 

Jelasnya, PDT Hulu Langat telah mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kepada pemilik-pemilik struktur tersebut pada 2017, 2020, 2021 dan 13 Mac 2025.

Tambahnya, satu tindakan perobohan melalui operasi bersepadu juga telah dilaksanakan pada 2017 oleh PDT Hulu Langat bersama enam agensi lain.

Agensi yang terlibat ialah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pada masa sama, MPKJ telah mengeluarkan Notis dan tawaran kompaun di bawah kesalahan Seksyen 70(1) dengan arahan di bawah Seksyen 72(1)(b)(c) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 pada tahun 2016, 2017, 2019 dan 2021.

“Kerana telah mendirikan sesuatu binaan bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pihak MPKJ,” katanya.

Amirudin turut mengesahkan LUAS juga telah membuka kertas siasatan pada tahun lalu di bawah Seksyen 43(4) dan Seksyen 70(3) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan yang sama.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tambahnya, menerusi OPS Kutip, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama PDRM telah menahan 42 orang warga asing yang disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Amirudin turut menyeru orang ramai merujuk kepada fakta serta kenyataan rasmi pihak berkuasa dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan di media sosial. 


 

Must Watch Video

Advertisement