PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang meneliti tindakan susulan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi semalam bahawa perintah daripada Mahkamah Perusahaan tidak terpakai ke atas Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana mempunyai imuniti atau kekebalan.

Menteri berkaitan Steven Sim berkata pihaknya memandang serius keputusan tersebut dan perkara berkenaan juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok. 

“KESUMA memandang serius keputusan mahkamah tersebut dan kita sedang memantau dengan dekat. Saya sendiri pantau dengan dekat dan bincang dengan pegawai undang-undang KESUMA.

“Kita akan lihat dulu alasan penghakiman sebab belum keluar, kita nak lihat alasan penghakiman dan pegawai undang-undang juga akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk lihat tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Hari Pekerja di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perintah daripada Mahkamah Perusahaan Malaysia tidak terpakai ke atas Kedutaan Amerika Syarikat yang mempunyai imuniti atau kekebalan.

Justeru perintah ke atas Kedutaan AS supaya membayar sebanyak RM66,000 kepada seorang pengawal keselamatan susulan pemecatannya secara tidak sah 15 tahun lepas tidak terpakai.

Mengenai tuntutan supaya memorandum persefahaman (MoU) membabitkan sektor formal pekerja dari Indonesia ke Malaysia dikaji semula, beliau berkata perkara berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama Malaysia-Indonesia pada Mei nanti. 

“Kali ni tuan rumahnya adalah Malaysia. Kita akan bincang dan bangkitkan isu MoU dan segala benda yang dilihat ada keperluan semak semula dan sebagainya. Ia boleh dibawa ke perbincangan jawatankuasa kerja bersama kerana itulah platform rasmi,” katanya.

Sebelum ini, Indonesia menuntut supaya MoU membabitkan sektor formal pekerja dari negara itu ke Malaysia, terutama perladangan dan pembinaan dikaji semula selepas 20 tahun tidak disemak.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono berkata antara perkara yang perlu dibangkitkan ialah keperluan pihak kedutaan memantau proses pengambilan pekerja ke Malaysia serta isu gaji yang perlu disesuaikan dengan dasar gaji minimum di negara ini.

Beliau berkata Indonesia dan Malaysia mempunyai dua MoU berkaitan migran membabitkan semua sektor yang ditandatangani pada 2004, kecuali pekhidmat domestik Indonesia (PDI). MoU membabitkan PDI atau amah secara khusus pula dimeterai kedua-dua negara berjiran itu pada 1 April 2022.

-- BERNAMA