KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menafikan pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang dakwaan sebaliknya sebagai palsu.
Dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H Gamble Jr, berkata AS tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia.
Kenyataan itu menambah, sebarang laporan yang mendakwa sebaliknya adalah palsu.
Penafian itu dibuat susulan spekulasi dalam talian mengenai peranan AS dalam urusan politik tempatan.
Kedutaan AS sebelum ini turut menegaskan bahawa hubungan diplomatiknya dengan Malaysia terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Pada Sabtu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan wakil kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon perdana menteri yang dicadangkan parti berkenaan ketika pertemuan di kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, pertanyaan berhubung calon perdana menteri dikemukakan kepadanya selepas dua pimpinan utama pas iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hssan dan Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan duta berkenaan.
Pada sesi penggulungan sempena Muktamar Pas ke-72, Abdul Hadi mendakwa, dalam pertemuan itu, kedua-dua pimpinan utama Pas dimaklumkan mengenai kemungkinan untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pentadbiran, selain mendakwa Washington bersedia membantu usaha berkenaan.