Statistik yang menunjukkan sebanyak 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak 2017 membangkitkan persoalan sama ada golongan lelaki kini semakin lemah atau pasangan mereka yang semakin ganas.

Penyelaras Unit Perancangan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr Harlina Halizah Siraj berkata, statistik itu mungkin lebih kecil berbanding angka sebenar yang tidak dilaporkan.

Jelasnya, keganasan boleh ditakrifkan dalam bentuk fizikal, emosi, percakapan, keganasan seksual, psikologi yang berpunca dari kawalan tentang kewangan serta keperluan.

"Kita bila cakap tentang ini, kena memahami, dalam konteks apa 56 orang ini, lelaki atau apa, tidak boleh melawan seorang isteri. Kita tidak boleh cakap macam itu.

"Sebab, dinamik dalam rumah tangga kena ditangani dengan lebih adil, hubungan suami isteri yang sepatutnya terjalin dengan kasih sayang, hormat menghormati, tolak ansur dan menghasilkan suasana tenang macam disebut dalam al Quran.

"Kalau tidak berlaku begitu, kita boleh bayangkan ahli keluarga dalam itu, maknanya anak-anak yang terlibat, kita perlu bantu bukan hanya melihat nombor," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, seramai 56 lelaki atau 5.4 peratus menjadi mangsa keganasan rumah tangga daripada 1,037 kes yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jelas Dr Harlina, banyak stigma yang akan berlaku apabila seseorang individu yang menjadi mangsa mengambil keputusan untuk tidak memberitahu sesiapa dalam hal ini.

"Sebab dinamiknya sukar, kalau orang lebih agresif, dia rasa lebih berkuasa misalnya dalam konteks personaliti, isteri lebih berkedudukan, isteri yang mempunyai lebih pendapatan, dia jadi macam ada sedikit kecerunan kuasa, siapa lebih kuasa ditakrifkan boleh menyakiti atau mengasari pasangan yang satu lagi.

"Banyak stigma akan berlaku, dia akan dipandang lemah, dia tidak cerita, mangsa wanita akan dianggap dikasari sebab dia tidak pandai menjaga suami atau rumah tangga

"Lelaki juga dianggap begitu, bila itu berlaku, dia tidak lapor kerana takut dianggap lemah, dia akan menjadi mangsa kitaran ganas dengan lebih lama," katanya.

Dalam pada itu kata Dr Harlina, keadilan perlu dipraktikkan dalam apa juga situasi berkenaan keganasan rumah tangga.

"Kalau banyak mangsa lelaki, kena tahu dinamiknya, bentuk yang sama tetapi penyelesaiannya kena berbeza.

"Kena pastikan mangsa itu sendiri berani untuk mendapatkan bantuan, nasihat atau perlindunagn daripada teman-teman.

"Kita kena lihat kenapa dia tidak lari dari rumah tangga itu, kenapa masih duduk di situ. ia disebabkan dia suka, sayangkan anak-anak, tidak mahu masyarakat memandang rendah kepada dia dan apa yang penting bukan hanya melihat lelaki atau wanita yang menjadi mangsa," ujarnya.

Statistik keganasan rumah tangga turut menunjukkan mencederakan mangsa secara fizikal merupakan kes paling tinggi dilaporkan iaitu sebanyak 448 kes.

Keduanya, sengaja meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan iaitu sebanyak 401 kes diikuti sebanyak 69 kes penderaan secara psikologi dan emosi serta 30 kes melibatkan melakukan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan atau kegusaran.