KUALA LUMPUR: Penggunaan internet isi rumah menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 91.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 90.1 peratus pada tahun 2019 susulan impak pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT mendapati, penggunaan itu merangkumi perkhidmatan e-pembelajaran, e-kesihatan, e-kerajaan, e-dagang dan e-hiburan.

"Capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada 2020.

“Pelaksanaan survei yang dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang mana penggunaan internet di kalangan masyarakat Malaysia berusia 15 tahun ke atas meningkat dengan ketara kepada 89.6 peratus pada 2020 berbanding 84.2 peratus pada 2019 iaitu meningkat sebanyak 5.4 mata peratus.," jelansya dalam kenyataan media pada Isnin.

Aktiviti internet paling popular, jelas Dr Mohd Uzir, ialah menyertai rangkaian sosial selain perkhidmatan atas talian, kesihatan serta perbankan internet.

Turut mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh peratus ialah kursus tidak formal dan formal atas talian, pengunaan e-Dagang, menonton televisyen atas talian dan mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan.

"Hasilnya, peratusan membuat pesanan barangan atau perkhidmatan atas talian seperti melalui telefon, WhatsApp dan Facebook telah meningkat daripada 22.5 peratus pada 2019 kepada 54.4 peratus pada 2020
(penambahan 31.9 mata peratusan).

"Semasa pandemik COVID-19, penggunaan internet untuk mencari maklumat atau perkhidmatan berkaitan kesihatan telah meningkat sebanyak 12.0 mata peratus pada 2020, dengan 61.9 peratus pengguna internet mencari maklumat atau perkhidmatan berkaitan kesihatan berbanding 45.2 peratus pada 2019," katanya lagi.

Manakala bagi perkhidmatan perbankan internet pula mencatatkan peningkatan 11.4 peratus berbanding 50.5 peratus pada tahun 2019.

Pembelian barangan atau perkhidmatan melalui e-Dagang seperti Shoppe, Lazada dan Grab juga mencatatkan peningkatan daripada 35.2 peratus kepada 45.0 peratus pada tahun 2020 iaitu penambahan 9.8 mata peratus.