Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di lokasi tersebut mendapati peniaga semakin bimbang dengan perniagaan dan keadaan di kawasan berkenaan.
Peniaga reruai yang menjual pakaian, Siti Aisha Dela Cruz Salvador, 44, berkata, kehadiran pengunjung turun secara mendadak sekitar 50 peratus selepas kejadian yang menimpa warga India itu.
Menurutnya, pelancong domestik mahupun antarabangsa semakin takut untuk ke lokasi tumpuan terbabit disebabkan kejadian yang tidak diingini itu berlaku.
“Sebelum kejadian itu masih ada lagi pengunjung, perniagaan pun masih okey tetapi selepas itu orang ramai jadi takut nak ke sini.
“Kehadiran pengunjung juga merosot,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Peniaga pakaian, Nadia Galib, 25, pula berasa takut untuk bekerja dengan gerainya jarak hampir 30 meter dengan lokasi kejadian, namun tetap menjalankan tanggungjawab mencari rezeki.
Menurut Nadia, dia yang sudah berniaga sejak 2018 berasa bimbang apabila berjalan di sekitar gerainya kerana takut perkara tidak diingini berlaku.
“Memang takut tetapi nak mencari rezeki dan demi sesuap nasi, jadi terpaksa kuatkan semangat.
“Perniagaan kami memang mula merosot. Kemalangan yang berlaku ini memberi kesan kepada peniaga,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga pakaian, Muhamad Arif Yunahar, 38, pula mahu pihak berkuasa menjalankan tindakan segera bagi membaiki keadaan di bawah tanah supaya tidak mengganggu proses perniagaan dan rutin harian penduduk setempat.
Menurutnya, proses mencari mangsa perlu dipercepatkan supaya peniaga tidak menutup kedai dan meneruskan perniagaan masing-masing.
“Kami mengharapkan perniagaan boleh dilaksanakan seperti biasa dan tidak akan menutup kedai seperti yang disyorkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya. - Sinar Harian