MALAYSIA
Kehadiran PM suntik semangat pelajar UiTM

Para penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) berasa amat berbesar hati dan teruja apabila menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada program Perhimpunan Perdana Menteri bersama 50,000 warga UiTM, di sini malam ini.
Kehadiran Najib untuk melancarkan Yayasan Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), di kampus induk universiti itu juga disifatkan pelajar institusi itu sebagai platform untuk mereka berkongsi pandangan dengan pemimpin nombor satu negara itu.
Penuntut Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Nurfadilah Yazman, 22, berkata kehadiran Perdana Menteri mampu menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus menyokong dasar kerajaan terutama dalam membangunkan program pendidikan di negara ini.
"Saya merupakan penyokong tegar Datuk Seri (Najib), atas bantuan daripada kerajaanlah, saya mampu meneruskan pengajian saya hingga ke peringkat lebih tinggi.
"Sebelum ini, saya hanyalah pelajar lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), apabila UiTM memperkenalkan program Mengubah Destini Anak Bangsa, ia telah memberi peluang kepada mereka dari keluarga yang kurang berkemampuan termasuk diri saya meneruskan pengajian," kata anak tukang kebun berasal dari Johor Baharu ini.
Beliau berkata peluang menyambung pengajian di UiTM itu merupakan rahmat paling besar dan secara tidak langsung menjadikan beliau seorang rakyat yang tahu bersyukur.
"Program ini banyak menolong anak Melayu yang miskin tetapi masih bersemangat untuk belajar ... saya menyeru kepada mahasiswa, hargailah apa yang diberikan kerajaan terutamanya dalam memartabatkan pendidikan anak-anak Melayu," katanya.
Beliau juga berasa teruja kerana akan mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.
Bagi Farriz Azere Azemi, 20, yang juga merupakan sukarelawan program MDAB, peluang bersua dengan Perdana Menteri adalah saat paling manis dan berharga buat seluruh mahasiswa universiti itu.
Beliau berkata amanat Perdana Menteri sebagai pemimpin wajar disemat dalam diri setiap mahasiswa kerana mereka juga bakal menjadi pemimpin masa hadapan negara.
"Sebagai PM (perdana menteri), kita tahu masa beliau sangat terhad dan kehadiran beliau di sini sememangnya patut dihargai.
"Beliau sanggup turun padang mendengar suara mahasiswa dan menyokong program yang kami laksanakan, saat inilah yang menjadi kebanggaan kami," kata penuntut Jurusan Bahasa Inggeris untuk Komunikasi universiti itu.
Mengulas mengenai program MDAB, Farriz berkata program yang diaspirasikan Najib dan Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar itu mempunyai impak positif dalam membela nasib anak bumiputera.
"Melalui program MDAB yang dilancarkan sejak Feb lepas, kami berkesempatan mengunjungi hampir setiap negeri untuk mencari anak-anak bumiputera yang telah tamat sekolah menengah untuk kami tawarkan tempat (belajar) di universiti ini.
"Saya yang berada dalam kumpulan pelajar dari keluarga berkemampuan berasa teruja menjadi sebahagian daripada tenaga program ini, melihat kesusahan mereka... saya juga turut merasai perasaan yang sama (merasa susah)," tambahnya.
Maryam Mohd Jamedi, 21, pula menyifatkan Najib sebagai antara pendorong kepada UiTM untuk mempertingkat imej pendidikan anak bumiputera di negara ini.
"Sebagai contoh, melalui program MDAB, pelajar kurang berkemampuan lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang mencatat keputusan sekurang-kurangnya tiga kredit, masih diberi peluang menyambung pengajian di universiti ini.
"UiTM bukan sahaja memberi peluang mereka untuk bergelar mahasiswa, malah dibantu dengan diberi elaun makan dan penginapan di universiti ini," katanya yang juga merupakan anggota Majlis Perwakilan Pelajar UiTM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami