MALAYSIA
Kehendak rakyat, bukan diri saya - Muhammad Yunus jelaskan sebab terima tugas 'kerusi panas'

Muhammad Yunus dengan rendah hati menggambarkan dirinya bukan sebagai seorang pemimpin, tetapi penjaga kepada proses demokrasi yang sekian lama dinafikan, namun beliau mengakui cabaran yang dihadapi amat besar. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Usia tidak menjadi penghalang bagi penerima Hadiah Keamanan Nobel, Prof Dr Muhammad Yunus, 85, yang sebenarnya boleh memilih untuk bersara dengan tenang, jauh daripada gelombang peralihan politik di tanah airnya, Bangladesh.
Ringkasan AI
- Prof Dr Muhammad Yunus, 85, dilantik sebagai Ketua Penasihat Kerajaan Peralihan Bangladesh, menegaskan peranannya hanyalah memenuhi kehendak rakyat untuk perubahan, bukan cita-cita peribadi.
- Beliau melihat dirinya sebagai penjaga proses demokrasi yang lama dinafikan, walaupun berdepan cabaran besar termasuk gangguan politik dan pengundi muda yang tidak pernah merasai pilihan raya telus sejak 15 tahun.
- Yunus, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2006 dan pengasas Bank Grameen, terkenal dengan inisiatif mikro kredit yang memperkasa golongan miskin, terutama wanita, dengan pinjaman lebih US\$40 bilion sejak 1983.
"Ini bukan tentang saya. Rakyat yang mahukan perubahan ini. Saya hanya membantu mereka menuju hala tuju yang mereka inginkan," kata Muhammad Yunus kepada Bernama dalam temu bual eksklusif pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia.
Beliau berada di negara ini dari 11 hingga 13 Ogos, atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya tidak memaksakan sebarang kehendak peribadi. Saya hanya menunggu untuk melihat apa yang rakyat mahukan, kemudian saya memudahkannya," katanya ketika berbual bersama Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Editor Perkhidmatan Berita Antarabangsa Voon Miaw Ping dan Penolong Editor Perkhidmatan Ekonomi Bernama Kisho Kumari Sucedaram.
Bagi tokoh yang membina reputasi antarabangsa sebagai penerima Hadiah Keamanan Nobel 2006 melalui perintisan mikro kredit ini, terjun ke kancah kepimpinan politik bukanlah sebahagian daripada perancangannya. Namun, situasi yang mendesak membuatkan beliau tidak mempunyai banyak pilihan.
Muhammad Yunus dengan rendah hati menggambarkan dirinya bukan sebagai seorang pemimpin, tetapi penjaga kepada proses demokrasi yang sekian lama dinafikan. Namun, beliau mengakui cabaran yang dihadapi amat besar.
"Terlalu banyak halangan. Ramai pihak mahu menggugat proses ini kerana unsur politik yang tersingkir dari Bangladesh sedang berusaha mengganggu kestabilan sistem," katanya sambil menambah bahawa ramai pengundi kali pertama yang cukup umur dalam tempoh 15 tahun lalu tidak pernah merasai pengalaman mengundi.
Beliau berkata ada yang menunggu 10 tahun, malah ada yang menunggu 15 tahun.
"Bayangkan seorang remaja berusia 18 tahun yang teruja untuk mengundi, tetapi peluang itu tidak pernah tiba kerana pilihan raya tidak pernah diadakan secara telus. Jadi mereka akan mengundi buat kali pertama selepas 15 tahun," jelasnya.
Kata-kata beliau sarat dengan harapan terhadap peralihan negara. Pilihan raya umum Bangladesh dijadualkan berlangsung pada Februari tahun depan.
Ahli ekonomi dan usahawan sosial tersohor dunia itu dilantik oleh Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin, untuk mengetuai kerajaan peralihan pada 8 Ogos 2024, susulan kebangkitan belia yang menggulingkan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, sekali gus mengakhiri pemerintahan kuku besinya.
Inspirasi Muhammad Yunus, bermula sewaktu kebuluran Bangladesh pada 1974, apabila beliau memberikan pinjaman peribadi kecil berjumlah US$27 kepada 42 keluarga sebagai modal menghasilkan barangan jualan tanpa beban faedah tinggi daripada lintah darat.
Projek Bank Grameen bermula pada 1976 sebagai projek penyelidikan tindakan perintis di daerah Chattogram, Bangladesh, sebelum berkembang menjadi sebuah bank pada 1983 untuk membasmi kemiskinan serta memperkasa golongan miskin tegar melalui pinjaman mikro.
Menurut laman sesawang Bank Grameen, jumlah keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan sejak penubuhannya hingga Jun 2025 mencecah US$40,368.61 juta kepada 10.72 juta peminjam, dengan 97 peratus daripadanya adalah wanita.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami