KUALA LUMPUR: Pendaki negara T. Ravichandran yang berjaya menakluk puncak Gunung Everest pada 2006 dan 2007 berjaya melakukan misi untuk menawan puncak tersebut buat kali ketiga pada 12 Mei lalu.

Malah, kejayaan yang direkodkan olehnya kali ini lebih indah apabila turut ditemani seorang lagi pendaki negara, N. Elanghovan, di puncak tertinggi dunia itu.

Dalam sidang media yang diadakan secara maya hari ini, Ravichandran berkata, misi pendakian ketiganya yang bermula 25 Mac lalu itu lebih lancar berbanding dua misi sebelumnya.

Jelasnya, ia disebabkan faktor keadaan cuaca, perancangan rapi dan persiapan awal yang telah dilakukan sebelum memulakan misi program Everest 3.0.

“Perasaan bila berada di puncak itu sentiasa sesuatu yang membanggakan bukan sahaja diri saya tetapi termasuk semua yang terlibat. Tetapi kali ini agak berbeza sedikit kerana Elanghovan ada bersama saya dan ia bukan lagi pendakian solo.

“Maka, perasaan bangga itu saya dapat kongsi di puncak. Anda boleh tengok saya tepuk bahunya dan memberi kata-kata semangat.. jadi lain sikit berbanding kejayaan sebelum ini," katanya yang kini berada di Base Camp di Kathmandu.

Ravichandran mengulangi bahawa perasaan bangga itu berbeza apabila mampu menawan puncak gunung yang berketinggian 8,849 meter bersama rakan senegara.

Beliau berjaya sampai ke puncak tersebut pada Khamis lalu jam 9.17 pagi waktu tempatan.

Everest 3.0 | Kehilangan jari tak halang tawan Everest kali ke-3

Kehilangan lapan jari akibat radang dingin (frostbite) pada misi pendakian keduanya dahulu nyata tidak menghalangnya untuk terus sampai ke puncak Everest kali ini.

“Kita dah ambil langkah menuju ke puncak pada 12 Mei, iaitu hari pertama cuaca paling cantik dalam musim ini. Kita mengambil tarikh itu di mana keadaan angin agak kurang dan juga keadaan cuaca yang tidaklah terlalu ekstrem.

“Jadi sasaran kita pada 12 Mei itu adalah sesuatu yang baik dan berjaya mengurangkan risiko-risiko terutamanya melibatkan risiko radang dingin,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kekurangan jari yang dialaminya itu membuatkan dirinya berdepan dengan risiko 30  peratus lebih bahaya berbanding pendaki lain yang normal.

Namun kecekalan dan tekad yang dimiliki membolehkan lelaki berusia 57 tahun itu berjaya memastikan impiannya kali ini akhirnya berbaloi dan berakhir dengan kejayaan.