NATIONAL
Kehilangan Pamela Ling: Peguam persoal tindakan SPRM, polis

Peguam menyatakan bahawa Pamela mungkin memiliki maklumat penting yang boleh membahayakan dirinya. - Gambar fail
SHAH ALAM: Peguam, Sangeet Kaur Deo mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada agensi antirasuah itu telah memfailkan laporan orang hilang berikutan ketidakhadiran Pamela Ling Yueh untuk memberi kenyataan serta kegagalan menghubunginya.
Ringkasan AI
- Peguam Sangeet Kaur Deo mempersoalkan sama ada SPRM telah memfailkan laporan orang hilang berikutan ketidakhadiran Pamela Ling Yueh untuk memberi kenyataan serta kegagalan menghubunginya. Sangeet juga bertanya jika SPRM telah memaklumkan kepada polis bahawa Pamela sedang membantu siasatan pengubahan wang haram.
- Sangeet menyatakan bahawa Pamela mungkin memiliki maklumat penting yang boleh membahayakan dirinya. Beliau menyeru SPRM mengesahkan bahawa mereka telah memaklumkan kepada polis tentang penglibatan Pamela dalam siasatan tersebut dan risiko yang mungkin dihadapinya.
- Dua laporan polis telah difailkan berhubung kehilangan Pamela. Adik Pamela mendakwa dia telah diculik dan kereta e-hailing yang dinaikinya dipintas oleh tiga kenderaan tidak dikenali.
"Adakah SPRM menyedari potensi risiko ini, dan adakah ia memaklumkan kepada polis tentang kemungkinan tersebut pada peringkat paling awal supaya siasatan sewajarnya dapat diteruskan (dalam menyiasat kehilangannya)?
"Kami menyeru SPRM mengesahkan bahawa ia telah mendedahkan sepenuhnya kepada polis, pada peringkat paling awal, sifat dan tahap penglibatan Pamela dalam siasatan pengubahan wang haram serta sama ada mereka mempunyai sebab untuk mempercayai dia mungkin terdedah kepada risiko akibat penglibatannya.
"Dan jika mereka tidak berbuat demikian, mengapa?" soalnya dalam satu kenyataan.
Sangeet berkata, dakwaan mengenai kereta e-hailing yang dinaiki Pamela dipintas oleh tiga kenderaan membuktikan bahawa dia telah diawasi, atau terdapat pihak yang mengetahui arah tujuannya ke ibu pejabat SPRM.
Ujarnya, perkara itu menimbulkan kebimbangan serius.
"Adakah SPRM menjangka atau mengesan sebarang risiko sedemikian? Adakah butiran penting ini telah dikongsikan dengan polis pada awal siasatan orang hilang untuk membantu mengesan mereka yang terlibat?
"Jika polis telah dimaklumkan, mereka harus menjelaskan langkah yang diambil untuk mengesan Pamela dan menyiasat kehilangannya," katanya.
"Adakah polis secara aktif meneliti kemungkinan kehilangannya boleh dikaitkan dengan siasatan atau mana-mana individu atau entiti yang terlibat dengannya?" soalnya lagi.
Dua laporan polis telah difailkan berhubung kehilangan Pamela.
Adik Pamela mendakwa dia telah diculik dan memaklumkan bahawa kereta e-hailing yang dinaikinya telah dipintas oleh tiga kenderaan tidak dikenali dan diarahkan menaiki salah satu daripadanya.
SPRM menyatakan bahawa wanita itu membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, manakala pihak polis menyatakan bahawa dia telah beberapa kali hadir ke ibu pejabat agensi antirasuah itu sebelum kehilangannya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Isa turut memaklumkan bahawa pihak mereka masih belum menemui sebarang petunjuk dalam siasatan terhadap kehilangan wanita tersebut.
Menurut Sangeet, adalah tidak boleh diterima apabila Rusdi menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang petunjuk dalam kes ini, memandangkan penglibatannya dalam siasatan SPRM serta keadaan mencurigakan menyelubungi kehilangannya.
Katanya, keluarga Pamela telah memberikan kerjasama sepenuhnya, bersikap telus dan proaktif dengan pihak berkuasa serta mengharapkan perkara sama daripada SPRM dan polis.
“Keluarga tetap tegas dalam usaha mereka untuk membongkar kebenaran dan mencari Pamela. Kes ini tidak akan dibiarkan berlarutan. Kehilangannya dalam keadaan mencurigakan menjadi trend yang membimbangkan di Malaysia.
“Setiap kes yang tidak diselesaikan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi dan kedaulatan undang-undang. Insiden seperti itu tidak boleh dianggap sebagai rutin. Mesti ada jawapan dan akauntabiliti,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami