NATIONAL
Kehilangan Pamela: Suami, beberapa individu mungkin suspek - KPN

Razarudin (foto) berkata, setakat ini seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami kepada Pamela. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Siasatan polis berkaitan kes kehilangan Pamela Ling Yueh sejak 9 April lalu, setakat ini menjurus kepada kemungkinan suaminya serta beberapa individu lain sebagai suspek.
Ringkasan AI
- Siasatan polis berkaitan kes kehilangan Pamela Ling Yueh menjurus kepada kemungkinan suaminya serta beberapa individu lain sebagai suspek.
- Setakat ini, seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami kepada Pamela, yang masih berada dalam negara.
- Ketua Polis Negara telah mengarahkan penubuhan pasukan khas bagi siasatan kes culik ini dan siasatan masih diteruskan untuk menentukan sekiranya suspek menyamar polis atau sememangnya anggota yang membuat onar.
“Siasatan masih belum (lengkap) lagi dan kita percaya ada orang lain kita ambil sebagai suspek juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2024 di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.
Razarudin berkata, setakat ini seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami kepada Pamela.
"Pemeriksaan lanjut mendapati suami kepada Pamela masih berada dalam negara," katanya.
Ketika ditanya kemungkinan Pamela masih berada di dalam negara, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan.
“Perkara itu masih dalam siasatan, kita tidak boleh buat kesimpulan. Buat masa ini motif kejadian belum diketahui,” katanya.
Menurut Razarudin, beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah menubuhkan pasukan khas bagi siasatan kes culik ini.
“Saya sendiri yang akan mempengerusikan mesyuarat malam ini untuk mengetahui perkembangan terkini siasatan kes,” katanya.
Berhubung keterangan diberikan pemandu e-hailing yang mendakwa individu dipercayai melarikan Pamela di lokasi kejadian memakai uniform dan vest polis, beliau berkata, siasatan masih diteruskan untuk menentukan sekiranya suspek menyamar polis atau sememangnya anggota yang membuat onar.
“Yang itu memang kami tidak bertolak ansur selama ini. Siasatan kita mana-mana anggota terlibat samun atau kes culik, kita tuduh mahkamah, ada dalam sejarah polis,” katanya.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar jam 1.30 petang hingga 2.10 petang.
SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Pamela telah dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.
Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Menurut kenyataan itu, tanggungjawab untuk mengesan keberadaan Pamela kini terletak di bawah bidang kuasa polis dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami