KUALA LUMPUR: Kejadian bongkah batu jatuh dari bukit berhampiran Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai dan menghempap kenderaan di sini, awal pagi semalam bukanlah kali pertama, kata seorang mangsa kejadian, Haslina Che Ku Razak.

Haslina, 38, yang telah 16 tahun menetap di Pangsapuri Intan berkata ia merupakan kali keempat kejadian seumpama itu berlaku, dan kali ini ia turut melibatkan kereta milik suaminya.

"Kejadian seperti ini boleh dikatakan berlaku setiap tahun... kejadian ini paling teruk kerana kami antara pemilik kereta yang terlibat. Semasa kejadian saya sekeluarga sedang tidur dan terjaga kerana terdengar bunyi hentaman kuat dari luar rumah saya pada kira-kira 4.20 pagi itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya semasa melihat ke arah kawasan parkir melalui tingkap, dia mendapati sebuah van dan sebuah kereta sudah remuk teruk akibat dihempap batu yang jatuh.

Haslina menyifatkan kerjadian berkenaan merupakan yang terburuk sejak tahun 2014, apabila sebuah teksi dihempap bongkah batu besar yang jatuh dari bukit dalam kejadian itu.

BACA: Lapan kenderaan rosak teruk dihempap bongkah batu

Sementara itu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan memasang jaring keselamatan di kawasan jatuhan batu dan melakukan kerja pembersihan sisa di tapak kejadian.

"Semakan terhadap struktur wire netting sedia ada mendapati tiada sebarang kebocoran atau kerosakan berlaku selain terdapat tumbuhan liar di kawasan terlibat, dan akar tumbuhan dipercayai menyebabkan rekahan batuan dan melibatkan kejadian batu jatuh.

"Terdapat jatuhan batu di bahagian atas cerun batuan yang dilitupi wire netting yang telah dilaksanakan penstabilan sebelum ini menggunakan kaedah rock bolting, dan kaki cerun itu bukan dikhususkan untuk meletak kenderaan serta tiada petak parkir di lokasi itu," menurut kenyataan itu.

Menurut MPAJ, pemilik kenderaan yang terlibat dinasihatkan membuat laporan polis dan laporan kepada MPAJ.

Dalam kejadian pada 4.20 pagi semalam, lapan kenderaan dilaporkan rosak teruk akibat ditimpa bongkah batu yang jatuh dari bukit berhampiran pangsapuri terbabit.

-- BERNAMA