Isu keamanan perlu diberi penekanan untuk mengekalkan landskap rukun dan damai sejak hampir 59 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia termasuk memberi penghargaan kepada perajurit serta anggota keselamatan yang bertugas di dalam dan luar negara.

"Berbanding dengan senario dunia pula, kita berasa simpati, khususnya dengan nasib saudara-saudara seakidah kita di Timur Tengah, yang masih tidak menentu.

"Malah, tanahair mereka sedang bergolak, dalam kancah peperangan, yang belum tertampaknya cahaya kedamaian," katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2016.


Isu keamanan merupakan satu daripada lima perkara yang mahu diketengahkan Najib dalam perutusan kali ini.

Selain itu, Najib mahu isu perpaduan ditekankan dan menjadi azimat menuju mercu kejayaan negara.

"Bahkan, uniknya sebuah Malaysia ini, dapat menyambut enam perayaan utama dalam takwim persekutuan yang diraikan oleh seluruh masyarakat.

"Namun begitu, kita berasa sedih pabila timbulnya hasutan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, tidak kiralah atas nama politik atau apa pun, sehingga boleh memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian yang sekian lama wujud.

"Oleh itu, kita berharap agar rakyat bersikap rasional dan boleh menepis unsur-unsur negatif, tohmahan mahupun fitnah yang tidak berasas sehingga mampu memporak-perandakan keadaan serta memusnahkan segala yang telah terbina," jelasnya.

Dalam pada itu Najib mahu syiar Islam terus berkembang dengan dinamik dengan berpegang kepada jalan kesederhanaan.

"Malaysia sekarang ini dikenali di seantero dunia sebagai sebuah negara Islam yang berdaya maju lagi progresif.

"Berasaskan kepada prinsip wasatiyyah, segala tindak tanduk kita, mengambil pendekatan yang tidak terlalu ekstrem dan bukan pula terlalu liberal. Bahkan memenuhi tuntutan kerangka Maqasid Syariah, yang dianjurkan oleh para Ulama dalam keintelektualan Islam," ujarnya.

Najib turut menekankan kepentingan isu ekonomi negara dengan langkah menangani ketidaktentuan ekonomi global.

"Mutakhir ini, meskipun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, melalui laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara, KDNK pada suku pertama tahun ini tetap berjaya mencatat perkembangan sebanyak 4.2 peratus.

"Terbaru pula, Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan KDNK tumbuh di paras 4.4 peratus pada tahun 2016," katanya.

Dalam pada itu Najib memberitahu tentang kelangsungan usaha gigih perjuangan Barisan Nasional (BN) dalam memacu kemajuan negara dan membela nasib rakyat.

"Pokoknya, Kerajaan yang mentadbir, telah membukti dan memperlihatkan prestasi serta rekod pencapaian yang mampu diperbanggakan.

"Lantas, kita bersyukur tidak terhingga, di sebalik dugaan dan cabaran yang diterima oleh Kerajaan, rakyat menyedari dan terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional di Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 dan Pilihan Raya Kecil di Parlimen Sungai Besar serta Kuala Kangsar baru-baru ini, dengan kemenangan yang besar.

"Inilah kaedah yang betul bagi rakyat memilih Kerajaan secara sah dalam sesebuah negara berdemokrasi seperti Malaysia dan bukannya sesuka hati membuat referendum atau melalui deklarasi yang tidak sah menurut lunas-lunas perlembagaan," jelasnya.