Kekangan kewangan membataskan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bergerak dengan lebih proaktif dalam meningkatkan lagi sistem penyampaian kementerian itu.

Menerima peruntukan sebanyak RM26.68 bilion menerusi Bajet 2019, ia bagaimanapun satu peningkatan dalam perbelanjaan pengurusan berbanding RM25.58 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan ia sebagai satu peningkatan yang baik, namun memerlukan jumlah yang lebih besar dalam melaksanakan 17 fasiliti dalam pembangunan hospital.

“Kalau saya sebut pada anda semua saya ada 17 fasiliti dalam pembangunan hospital dan fasiliti-fasiliti kesihatan klinik-klinik kesihatan termasuk kuarters dan institusi yang lain yang kurang lebih menelan belanja dalam RM3 bilion. Itu hanya fasiliti.

“Saya menganggap itu satu yang baik tapi saya memerlukan jumlah yang lebih kerana saya ada sistem rekod perubatan elektronik (EMR) untuk dilaksanakan.

“Selain itu, menangani masalah kesesakan kerana parkir. Saya telah memulakan program outsourcing dan dalam program itu,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada satu sidang media khas di kementeriannya di Putrajaya.

Tambahnya, berkenaan masalah parkir, sebanyak lima buah hospital telah dikenalpasti untuk dibina parkir bertingkat iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Hospitral Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya.

“Keseluruhan lima buah hospital ini telah kita kemukakan bill operate dan transfer. Kita telah pun juga mendapat permohonan cadangan (RFP). Kita harap kita akan dapat menanganinya, tetapi mengambil masa untuk jadi macam Hospital Kuala Lumpur.

“Itu satu daripada cara kita menangani masalah kesesakan parkir dan itu telah dapat kita jayakan dan bekerjsama dengan Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta,” katanya.