DUNIA
3 maut, 20 cedera dalam insiden tembakan di sekolah Katolik Minneapolis

Tiga orang maut manakala 20 lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah Katolik di bahagian selatan Minneapolis, Amerika Syarikat. - Reuters
MINNEAPOLIS: Tiga orang maut manakala 20 lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah Katolik di bahagian selatan Minneapolis, Amerika Syarikat, pada Rabu.
Menurut pihak berkuasa tempatan, laporan awal mendedahkan bahawa suspek juga antara yang terbunuh dalam kejadian tragis itu.
"Serangan berlaku hanya dua hari selepas sesi persekolahan bermula di Sekolah Katolik Annunciation, yang menempatkan kira-kira 395 pelajar.
"Sekolah berkenaan mempunyai kaitan rapat dengan Gereja Katolik Annunciation, kedua-duanya terletak di kawasan perumahan di tenggara bandar terbesar di negeri Minnesota itu," katanya. Dalam pada itu, polis Richfield memaklumkan, seorang lelaki berpakaian serba hitam dan bersenjatakan senapang dilaporkan berada di lokasi kejadian sebelum pasukan keselamatan tiba.
Satu sidang media rasmi dijadualkan pada jam 10:30 pagi waktu tempatan, menurut laporan stesen televisyen tempatan.
Media tempatan turut melaporkan bahawa ketika insiden berlaku, kanak-kanak sedang menghadiri perhimpunan pagi, menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut. Rakaman televisyen juga menunjukkan ibu bapa merangkak di bawah pita kuning polis untuk membawa anak-anak mereka keluar dari kawasan sekolah.
Pelajar yang dibawa keluar dilihat memakai kemeja polo hijau dengan seluar pendek atau skirt biru, seragam rasmi sekolah tersebut.
Difahamkan, tiga lagi insiden tembakan berasingan turut dilaporkan di bandar Midwestern itu sejak petang Selasa, mengakibatkan tiga kematian dan tujuh lagi cedera, menurut pihak polis.
Pihak berkuasa setakat ini masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti motif kejadian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami