Kekebalan diplomatik bukan alasan tidak bantu siasatan - Khalid

Harits Asyraf Hasnan
Februari 23, 2017 09:04 MYT
Tan Sri Khalid Abu Bakar bercakap dengan pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Kekebalan diplomatik bukanlah alasan kepada Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang Song, 44, untuk tidak tampil membantu siasatan pembunuhan Kim Jong Nam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, Kwang Song dan pekerja syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk Il, 37 diminta tampil untuk membantu siasatan meskipun salah seorang daripada mereka mempunyai imuniti politik.
Tambah Khalid, jika benar mereka tidak terlibat dengan pembunuhan tersebut, mereka sepatutnya tampil membantu siasatan tanpa berselindung.
"Dia (Kwang Song) mempunyai kekebalan diplomatik tetapi kita akan membuat siasatan mengikut protokol undang-undang antarabangsa.
"Manakala pekerja syarikat penerbangan itu (Uk Il) pula tidak mempunyai kekebalan diplomatik dan kami akan mengeluarkan waran tangkap jika dia gagal memberikan kerjasama.
"Jadi jika anda tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, anda tidak perlu takut. Anda sepatutnya bekerjasama," katanya pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini hari ini.
BACA: Korea Utara dakwa PDRM sembunyi sesuatu
BACA: Pembunuhan Jong Nam: Polis tidak pasti dakwaan dua suspek bersembunyi di kedutaan - Khalid
Beliau berkata, pihaknya yakin maklumat daripada kedua-dua suspek amat penting dalam menyelesaikan kes berkenaan.
"Kita akan mendapatkan bantuan Wisma Putra serta saluran mengikut protokol undang-undang antarabangsa dalam mendapatkan maklumat dari setiausaha terbabit," katanya.
Tegas Khalid, Malaysia turut memohon empat lagi warga Korea Utara yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Kim Jong Nam dan meninggalkan negara disenaraihitamkan pasukan Polis Antarabangsa (INTERPOL).
#Hyon Kwang Song #Kim Chol #kim jong nam #Kim Jong-un #Korea Utara #Tan Sri Khalid Abu Bakar #Wisma Putra