KUALA LUMPUR: Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP) menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara pada Jumaat.

Menurut Pengerusinya, Zuraidah Kornain, nota protes itu menuntut empat perkara terhadap Amerika Syarikat (AS) agar memberi tekanan kepada zionis Israel menghentikan kekejaman terhadap penduduk di bumi Gaza, Palestin.

"MWCQP telah menyerahkan nota protes kepada Kedutaan Amerika Syarikat pagi ini. Kami merasa sangat kesal dan kecewa terhadap jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza.

"Kami menggesa supaya Israel dan negara-negara yang bersekongkol dengannya bertanggungjawab terhadap jenayah ini. Berikut adalah tuntutan kami, Israel menghentikan genosid di Gaza," katanya.

Selain itu, tuntutan itu turut mengesa Israel menyegerakan pembukaan sekatan di Lintasan Rafah agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada penduduk di Gaza.

Mereka juga menggesa Israel menghentikan sepenuhnya pengepungan haram ke atas Gaza dan mendesak negara-negara sekutu zionis menghentikan sokongan melulu terhadap pendudukan haram zionis dan kekejaman terhadap Palestin.

"Surat bantahan ini telah ditandatangani oleh 42 NGO dan 53 NGI, termasuk menteri-menteri, Ahli-ahli Parlimen, tokoh-tokoh masyarakat, aktivis dan pempengaruh pelbagai bangsa dan agama," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Perhimpunan Aman Serahan Surat Bantahan Kepada Kedutaan Amerika Syarikat atas kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin anjuran Humanitarian Care Malaysia(MyCARE) dan MCWQP di hadapan Kedutaan AS pada Jumaat.

Terdahulu, Zuraidah bersama Penasihat Kehormat MCWQP, Dr Fauziah Mohd Hasan dan Setiausaha Viva Palestina Malaysia, Azra Banu menghantar nota bantahan di kedutaan itu kira-kira jam 11.30 pagi.

Nota bantahan itu diserahkan kepada Timbalan Pegawai Politik Kedutaan AS, La June Barnes.

Kira-kira 300 orang berkumpul berhampiran Kedutaan AS pada Jumaat.

Hadir sama memberi ucapan, ahli politik, Nurul Izzah Anwar dan beberapa pempengaruh yang turut bersama menunjukkan solidariti terhadap Palestin.