KUALA LUMPUR: Malaysia bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) menyokong resolusi Majlis Hak Asasi Manusia yang menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan (COI) bagi memastikan ketelusan dan sokongan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

Malaysia pada masa sama menegaskan Israel perlu memberi bekerjasama sepenuhnya bagi memastikan COI dapat melaksanakan tugasnya dengan berkesan.

"Kami percaya hanya ketelusan, keadilan dan pemulihan ketidakadilan akan dapat memastikan Palestin mendapat hak asasi manusia yang sepatutnya mereka peroleh.

"Dasar Israel yang tidak berperikemanusiaan, kolonial dan aparteid  mesti ditamatkan demi masa depan Palestin yang bermaruah," kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pendirian itu disuarakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar ketika Sesi Khas Majlis Hak Asasi Manusia ke-30 yang membincangkan pencabulan hak asasi manusia yang serius di Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur pada 27 Mei lalu, di Geneva, Switzerland.

Sesi Khas yang diadakan atas permintaan anggota negara OIC itu mendapat sokongan 69 negara.

Kenyataan itu turut mengulangi pendirian Malaysia menyertai masyarakat antarabangsa mengecam tindakan tentera Zionis Israel yang terus menduduki secara haram tanah Palestin serta melanggar hak asasi manusia dan undang-undang secara terang-terangan.

Pada masa sama, Majlis Hak Asasi Manusia digesa untuk bertindak segera dan tegas menangani punca krisis berkenaan.

"Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat perjuangan Palestin dan kekal tegas dalam menyuarakan sokongan untuk mengembalikan hak Palestin, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat," ujar kenyataan itu.