KUALA LUMPUR: Bagaikan tiada noktah, insiden buli membabitkan keganasan fizikal terus menghantui institusi pendidikan di negara ini dengan yang terbaharu dikesan pada awal bulan ini.
Insiden melibatkan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air itu terbongkar menerusi rakaman video berdurasi 10 minit yang tular, mengundang kecaman netizen dan masyarakat amnya.
Kejadian turut menimbulkan persoalan ke manakah perginya empati dan kemanusiaan dalam diri remaja yang masih dalam peringkat "rebung" itu sehingga sanggup beramai-ramai menumbuk seorang rakan sebaya.
Tidakkah mereka belajar daripada kejadian buli yang meragut nyawa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)?
Menurut pakar pendidikan dan psikologi, tidak semua pembuli berasal daripada keluarga bermasalah atau akibat masalah keluarga atau pernah menjadi mangsa buli. Sebaliknya ada yang menjadi demikian disebabkan kekurangan nilai murni dalam pembangunan sahsiahnya.
LUPA NILAI MURNI
"Masalah buli berlaku dalam kalangan pelajar adalah sangat berkait dengan nilai yang mereka pegang. Maksudnya, kalau seseorang itu mempunyai nilai agama yang baik, nilai moral yang baik, mereka tidak akan melakukan buli," kata pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad kepada Bernama.
Menurutnya, faktor nilai murni kurang diberi perhatian dalam kes buli kerana kebanyakan ahli masyarakat menuding jari kepada masalah keluarga seperti pergaduhan ibu bapa atau pembuli sendiri pernah menjadi mangsa.
Ada pembuli katanya menerima kasih sayang yang mencukupi daripada keluarga, namun hilang nilai murni kerana pengaruh rakan dan persekitaran seperti keganasan dalam permainan video dan juga filem yang mereka anggap sebagai kelakuan hebat.
Akibat lemah aspek kerohanian, mereka tidak dapat membezakan di antara yang betul dan salah, katanya dan menambah, lebih buruk lagi ada yang membuli sekadar untuk berseronok atau suka-suka.
Justeru, tidak menghairankan apabila pembuli mentertawakan mangsa yang kesakitan, walhal jika ada nilai kasih antara manusia dalam diri mereka, perkara itu tidak akan berlaku, tegas beliau.
"Saya sedih melihat pelajar bijak pandai yang masuk sekolah asrama penuh tetapi tidak menggunakan pemikiran rasional untuk membezakan mana yang baik dan buruk, sedangkan bagi saya isu buli tidak menuntut kematangan yang tinggi.
"Malah, anak kecil, sekiranya diberikan penekanan pendidikan akhlak, moral dan agama di peringkat awal juga mampu membezakan perbuatan seperti itu adalah tidak bermoral mahupun wajar," katanya, menambah tuntutan kehidupan menyebabkan ramai ibu bapa menyerahkan sepenuhnya aspek pembangunan nilai sahsiah si anak kepada sekolah dan pembantu rumah.
SEKOLAHKU SEJAHTERA, BERKESANKAH?
Isu kekurangan nilai murni dalam kalangan generasi muda, khususnya di peringkat sekolah, turut disentuh oleh beberapa pihak sebelum ini, termasuk pakar agama yang merumuskan kejadian buli juga disebabkan ketidakberkesanan pendidikan agama dan moral yang diajar di sekolah.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dipetik berkata buli di sekolah berasrama penuh akan terus berlaku dari semasa ke semasa, dan perkara itu berkait dengan kurangnya nilai moral dan budi bahasa dalam kalangan segelintir pelajar.
Pandangan serupa turut disuarakan oleh Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) yang berkata budaya buli khususnya dalam kalangan pelajar, tidak akan berleluasa sekiranya mereka benar-benar menghayati serta mempelajari nilai-nilai murni yang diterapkan dalam kurikulum Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral di sekolah sejak sekian lama.
Menyedari akan kepentingan nilai moral, Kementerian Pendidikan kini dalam peringkat akhir sesi libat urus berkaitan pengenalan konsep 'Sekolahku Sejahtera' yang antara lain bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata konsep itu membolehkan elemen nilai murni diterapkan sejak kecil dalam kalangan murid, sekali gus membantu mereka menilai kesan baik dan buruk sesuatu perbuatan atau perkara apabila mereka dewasa kelak.
Bagi Anuar, pengenalan konsep itu merupakan satu langkah wajar memandangkan selama ini pendidikan berkaitan dengan agama mahupun moral dalam kalangan pelajar, tidak kira peringkat rendah atau menengah, tidak diutamakan sepertimana subjek akademik lain seperti Matematik dan Sains.
"Masih ada dalam kalangan kita yang meletakkan pendidikan berkaitan moral, sivik hanyalah sampingan dan ini dapat dilihat apabila pelajar hanya mempelajarinya beberapa jam sahaja dalam seminggu.
"Malah, satu ketika dulu, saya pernah dimaklumkan ibu bapa bahawa ada sekolah yang menggunakan waktu Pendidikan Moral dan Sivik untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan sebagainya. Saya tidak nafikan subjek Sains dan Matematik itu penting, tetapi perlu ada keseimbangan di antara akademik dan pembangunan nilai murni," katanya.
TIBA MASA UNTUK "4M"
Menurut Anuar, sudah tiba masa aspek moral diberi penekanan sewajarnya dan ditambah kepada '3M', iaitu selain menguasai kemahiran "membaca, menulis dan mengira", satu lagi "M" iaitu moral juga perlu dikuasai pelajar.
Ini seiring dengan falsafah pendidikan negara yang bermatlamat membentuk modal insan seimbang merangkumi aspek pendidikan, rohani dan jasmani, katanya.
Bagaimanapun, untuk tujuan itu, Anuar berkata penekanan aspek nilai murni perlu diterjemahkan secara praktikal sepertimana yang diaplikasikan di Jepun, kerana pendekatan tersebut lebih berkesan dalam meningkatkan pemahaman pelajar.
"Pendidikan moral atau nilai murni merupakan subjek yang sangat sukar sebenarnya. Contoh, ucapan terima kasih mudah sahaja diucapkan tetapi berapa ramai ketika ini yang mampu mengucapkannya kepada orang lain? Malah, untuk mendengar ucapan tersebut pun susah.
"Kerana itulah subjek ini tidak boleh diajar dalam bentuk teori semata-mata. Kalau di Jepun, pembelajaran nilai murni diberi penekanan di sekolah sejak umur tujuh tahun lagi melalui perbuatan. Contohnya ada jadual bersihkan tandas, membantu menyediakan makanan untuk rakan, yang mana ini akan mewujudkan jalinan persahabatan ikhlas antara satu sama lain," katanya.
Menerusi persahabatan ikhlas ini, secara tidak langsung mereka belajar menghormati antara satu sama lain dan mempunyai sifat empati dalam diri, sekali gus menjadi benteng pertahanan diri daripada terpengaruh dengan faktor luaran dan menjadi pembuli.
Pensyarah kanan di Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam pula melihat keteguhan empati dalam remaja membolehkan mereka memahami kesusahan dan penderitaan yang ditanggung orang lain, khususnya rakan sebaya.
Perasaan empati membolehkan mereka meletakkan diri dalam situasi orang lain dan ini memangkin tingkah laku prososial seperti tolong-menolong dan saling melindungi rakan daripada ancaman, jelasnya.
"(Selain itu) Rasa serba salah pula mampu mendorong remaja mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan berusaha membaiki hubungan dengan rakan sebaya. Bahkan, penyelidikan telah membuktikan rasa serba salah sebagai satu ramuan penting dalam membina hubungan persahabatan yang berkualiti dan positif dengan rakan sebaya," katanya.
KERUGIAN BUAT NEGARA
Hakikatnya, penyelesaian kepada masalah buli yang sudah lama berakar umbi ini memerlukan penglibatan semua pihak, iaitu bukan hanya ibu bapa dan sekolah, tetapi juga masyarakat sekeliling termasuk golongan agamawan.
Bagi Anuar, sekalipun isu buli sukar dihapuskan sepenuhnya, usaha mengurangkan kejadian ke peringkat paling minimum perlu diambil segera bagi memastikan negara tidak lagi kehilangan modal insan berpotensi yang komprehensif.
"Apalah gunanya melahirkan pelajar yang hanya cemerlang separuh sahaja iaitu hanya akademik tetapi tidak pada pembangunan akhlak serta nilai murni?
"Mereka ini bukan hanya berisiko menjadi pembuli kerana kelemahan benteng diri tetapi juga berpotensi terlibat dalam jenayah lain seperti rasuah dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Dec 21 2021

Faktor nilai murni kurang diberi perhatian dalam kes buli kerana kebanyakan ahli masyarakat menuding jari kepada masalah keluarga. - Gambar hiasan

MDEC buka permohonan Geran Teknologi Global, Geran Pemangkin 4IR
MDEC buka permohonan untuk Geran Teknologi Global, Geran Pemangkin 4IR edisi 2022 | Dagang News
![AWANI Pagi: Berita tumpuan & kemas kini COVID-19 [20 Mei 2022] AWANI Pagi: Berita tumpuan & kemas kini COVID-19 [20 Mei 2022]](https://resizer-awani.eco.astro.com.my/tr:w-177,h-100,q-100,f-auto/https://dzu2r3t0ymp2a.cloudfront.net/757/1967781/thumbnails/30824897611653009649103_640x360.jpg)
AWANI Pagi: Berita tumpuan & kemas kini COVID-19 [20 Mei 2022]
AWANI Pagi membawakan kemaskini terkini mengenai berita dalam dan luar negara yang dilaporkan di www.astroawani.com bersama Afiezy Azaman dan Nursyazwani Saiful Sham.

Lagu bernada tinggi, peminat juga perlu memahami - Ziana Zain
Ziana Zain percaya setiap penyanyi akan memberikan persembahan terbaik setiap kali di pentas, dengan kemampuan yang dimiliki.

AWANI Pagi: Sambutan Hari Bomba Sedunia 2022
Rumah terbakar panggil bomba, bomba datang berlumba-lumba. Hakikatnya kini tugas pasukan bomba bukan sekadar memadam kebakaran. Ikuti perbincangan bersama KP JBPM dalam Awani Pagi

Mansuh AP tidak selesai isu kos makanan - Sim Tze Tzin
Pemansuhan AP import makanan tidak akan mencapai matlamat mengurangkan kos harga makanan sebab hanya melibatkan lima jenis makanan.

Program Jom Tengok Bola semai semangat perpaduan rakyat - Halimah
Program anjuran bersama Astro AWANI itu amat bertepatan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.

Vaksin COVID-19 | WHO luluskan penggunaan kecemasan Cansino
Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi kelulusan kecemasan bagi penggunaan vaksin yang dikeluarkan Cansino Biologics di China. Ini merupakan vaksin kesebelas seumpamnya yang menerima kelulusan.

COVID-19 Global | Jumlah kes baharu melebihi setengah bilion
Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di peringkat global kini melebihi setengah bilion. Dalam tempoh 24 jam lepas terdapat pertambahan ratusan ribu kes menjadikan jumlah kes baharu yang direkodkan melebihi angka 523 juta.

COVID-19 Global | Pertambahan lebih 2,000 korban baharu dalam sehari
Berdasarkan data Johns Hopkins University, terdapat pertambahan lebih 2,000 kes korban direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 global kini melebihi 6.27 juta kes.

Keanggotaan NATO | Biden alu-alukan permohonan Sweden & Finland
Presiden Joe Biden mengalu-alukan permohonan Sweden dan Finland untuk menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Jelas beliau, keanggotaan dua negara ini akan menguatkan lagi NATO, yang merupakan asas kepada keselamatan Amerika.

Etika, moral pemimpin politik Melayu semakin teruk - Prof Mohd Kamal
Etika dan moral pemimpin politik orang Melayu dilihat semakin menurun dan teruk pada era selepas kemerdekaan negara.

Tidak campur tangan tuduhan kes moral hakim kanan syariah - Idris
Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) (HEA) sama sekali tidak akan campur tangan dalam tuduhan isu moral yang melibatkan seorang pegawai kehakiman syariah.

Kekurangan nilai moral berpotensi lahirkan pembuli - Pakar
Kejadian turut menimbulkan persoalan ke manakah perginya empati dan kemanusiaan dalam diri remaja.

Isu Buli: KPM disaran tambah baik kurikulum pendidikan agama, moral - Mufti P. Pinang
KPM disarankan agar menambah baik kurikulum pendidikan agama dan moral di sekolah termasuk dari sudut amalan atau praktikal agar lebih berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

Keberkesanan KPMPerkasaKU tumpuan di Dewan Rakyat hari ini
Pertanyaan itu diajukan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) kepada Menteri Kanan Pendidikan.

Moratorium: Bank Negara ada kuasa penuh, bank-bank tak akan gulung tikar - Sohaimi Shahadan
Seksyen 6, 7, dan 13 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, beri kuasa kepada Bank Negara untuk menetapkan apa apa polisi berkaitan moratorium

Bantu petugas kesihatan dengan tidak pulang ke kampung - Muhammadiyah
Langkah itu dilihat sebagai bentuk empati dan tanggungjawab moral kepada petugas kesihatan yang sedang berjuang menghadapi pandemik COVID-19.

Paradoks keabsahan moral Israel
Negara Yahudi itu kini memperolehi keabsahan moral yang diidam-idamkan tetapi satu-satunya negara yang juga merupakan jiran terdekatnya terus ditindas dan dianiayai.

Rasuah Busters: Naikkan gaji penjawat awam bukan jalan penyelesaian - Akhbar Satar
Penerapan nilai moral dan aspek penguatkuasaan lebih penting dalam membantu usaha memerangi rasuah.

Ada orang kata 'bisnes dan rasuah berjalan seiring'... Benarkah begitu?
Jika tanggapan itu wujud, ternyata ekonomi dan amalan perniagaan sesebuah negara tidak sejajar dengan amalan baik.