Kelab Rukun Negara (KRN) di peringkat sekolah rendah dan menengah serta Sekreteriat Rukun Negara (SRN) di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) akan diperhebat bagi usaha meletakkan lima prinsip asas itu dalam sistem pendidikan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dari segi aktiviti, program dan modul KRN serta SRN itu.

"Bagi KRN, kita akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagaimana kelab itu sebagai kelab wajib di sekolah yang dianggotasi oleh pelbagai kaum dengan modul yang ditetapkan bersama.

"Manakala bagi SRN pula, perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi dilakukan bagi menggalakkan penubuhan sekreteriat itu di peringkat IPT," katanya dalam satu temu bual bersama SarawakFM pada Sabtu.

Untuk rekod, sebanyak 6,621 KRN berdaftar merangkumi 4,205 melibatkan sekolah rendah kebangsaan, (504) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina serta 236 SRJK Tamil.

Manakala 172 SRN yang berdaftar direkodkan di seluruh negara.

Pada Khamis lalu, Perdana Menteri mahu pendidikan Rukun Negara perlu dijadikan agenda teras kerajaan bagi memastikan Rukun Negara sentiasa menjadi amalan dalam masyarakat untuk diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Muhyiddin berkata, perlu ada usaha bersungguh-sungguh oleh semua pihak untuk menyemarakkan penghayatan prinsip dan nilai yang terkandung dalam Rukun Negara terutama bagi mengeratkan perpaduan rakyat di negara ini.

Selain Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, agenda pendidikan Rukun Negara turut melibatkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Halimah menambah, kementeriannya akan memberikan insentif geran penubuhan sesuatu kelab atau sekreteriat dalam usaha menggalakkan penubuhan KRN dan SRN.

"Ini adalah salah satu proses ke arah memasukkan Rukun Negara dalam sistem pendidikan. Apabila kita memeberikan geran, setiap KRN atau SRN boleh menganjurkan program mereka sendiri.

"Mereka boleh menganjurkan program mengikut kreativiti kelab mahupun sekreteriat itu dalam usaha memperhebat penghayatan dan pendidikan mengenai Rukun Negara," katanya.

Dalam pada itu, Halimah menjelaskan, kementeriannya juga merancang untuk mengembalikan pendidikan Rukun Negara di peringkat asas iaitu pendidikan awal kanak-kanak seperti tabika.

"Sebagai contoh tabika perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, silibusnya disiapkan berlandaskan silibus oleh Kementerian Pendidikan," ujar beliau.