Kelab Menjenayahkan Perang, yang dilancarkan malam Khamis oleh isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, akan menjadi wadah kepada pelajar di seluruh negara untuk memahami tentang kesia-siaan peperangan.

Dr Siti Hasmah, yang juga pengasas kelab berkenaan (Bahagian Malaysia) berkata kelab itu, yang pertama seumpamanya, akan dikendalikan sendiri oleh pelajar sekolah dengan melaksanakan segala aktiviti dan program.

Menerusi kelab itu, Dr Siti Hasmah berkata kanak-kanak di Malaysia berpeluang untuk memahami bahawa perdamaian dan berdamai semula adalah cara yang lebih baik untuk menyelesaikan konflik.

"Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) akan bertindak sebagai mentor kepada kelab ini dan membantu mengawal aktiviti mereka dalam lingkungan matlamat yang ditetapkan itu," katanya.

Dr Siti Hasmah berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada majlis jamuan malam yang diadakan sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Isu Kanak-kanak Menjadi Mangsa Peperangan di Dewan Tun Dr Ismail di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara malam Khamis.

Beliau berkata Kelab Menjenayahkan Perang telahpun diberi Piagam, iaitu garis panduan yang disediakan khusus untuk membantu anggotanya menjalankan fungsi dalam lingkungan rangka kerjanya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kebenaran kepada kami untuk menubuhkan kelab ini di sekolah di seluruh negara bagi menyampaikan mesej ini kepada dunia," katanya.

Setakat ini, Kolej Tunku Kurshiah di Seremban, Negeri Sembilan dan Cempaka Group of Schools, sebuah institusi pendidikan swasta, telahpun menubuhkan Kelab Menjenayahkan Perang masing-masing.