KUALA LUMPUR: Tiga negeri kembali dilanda banjir apabila beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kelantan, Terengganu dan Selangor susulan hujan lebat berterusan sejak semalam, manakala di Perak keadaan beransur pulih.

Di KELANTAN, 13 PPS dibuka semula melibatkan 524 mangsa banjir daripada 128 keluarga setakat 2.30 petang ini melibatkan jajahan Kuala Krai dan Tanah Merah.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) PPS dibuka di Kuala Krai ialah Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A yang menempatkan 61 orang daripada 14 keluarga; Madrasah Chuchuh Puteri A (39 orang, 12 keluarga); Masjid Chuchuh Puteri A (42 orang, 10 keluarga); Pejabat Veterinar (47 orang, 17 keluarga) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang (73 orang, 17 keluarga).

Turut dibuka PPS Madrasah Kampung Sepuluh (60 orang, 12 keluarga), SK Banggol Guchil (enam orang, dua keluarga), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai (enam orang) dan SK Sungai Embak (32 orang) manakala di Tanah Merah, PPS SK Kelewek dengan 26 mangsa daripada lapan keluarga; SK Gual Jedok (15 orang, empat keluarga); Balai Raya Padang Kijang (20 orang, enam keluarga) dan Madrasah Wak Seman Kampung Air Batu (97 orang, 26 keluarga).

Berdasarkan laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras amaran iaitu Sungai Nal di Kuala Krai merekodkan bacaan 24 meter (m); Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (15.5m); dan Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (29m).

Di TERENGGANU, 85 orang daripada 17 keluarga dari daerah Hulu Terengganu dipindahkan ke satu PPS pada 12 tengah hari ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong mula dibuka pada 10.20 pagi selepas rumah penduduk dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Azman Othman @ Abdullah berkata dua sekolah di daerah Hulu Terengganu terpaksa ditutup akibat banjir iaitu SK Lubuk Periok yang dinaiki air manakala SK Felda Mengkawang kerana terputus hubungan.

"Dua sekolah terjejas melibatkan 281 murid dan 39 guru. Bagaimanapun kita agak bernasib baik kerana hari ini adalah hari terakhir persekolahan sebelum cuti penggal bermula esok," katanya.

Jumlah mangsa banjir di SELANGOR pula meningkat kepada 99 orang membabitkan 33 keluarga setakat 2 petang, berbanding 75 individu daripada 26 keluarga pagi tadi dengan kesemua mangsa berlindung di PPS SK Jaya Setia dan Balai Raya Parit Mahang di daerah Kuala Selangor.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan aras sungai Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor melepasi paras amaran dengan 26.93 meter, namun dalam trend menurun setakat 2 petang.

Tiga sungai di negeri itu merekodkan bacaan paras waspada dengan dua menunjukkan trend menurun iaitu Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor (3.93 meter) dan Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor (6.97 meter) manakala Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor setinggi 18.25 meter dalam trend meningkat.

Di PERAK, PPS Masjid Al-Wusta, Batu 8 yang menempatkan 20 mangsa banjir daripada 10 keluarga di Larut Matang dan Selama ditutup tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak memaklumkan kesemua mangsa yang terdiri daripada penduduk Kampung Matang Gelugor telah pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka di Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, manakala di Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu, sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk juga dijangka di Gua Musang di Kelantan; Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu dan Kuantan, Pahang manakala hujan berterusan tahap waspada dijangka di Pahang melibatkan Jerantut, Pekan dan Rompin.

-- BERNAMA