Skip to main content

Malaysia

Kelemahan sistem siber Eropah wajar jadi penanda aras untuk Malaysia - Pakar

Insiden yang berlaku di Eropah juga telah mencabar takrif konvensional keterjaminan makanan yang selama ini tertumpu kepada perubahan iklim, kestabilan geopolitik dan kekangan logistik fizikal. - Gambar hiasan
Insiden yang berlaku di Eropah juga telah mencabar takrif konvensional keterjaminan makanan yang selama ini tertumpu kepada perubahan iklim, kestabilan geopolitik dan kekangan logistik fizikal. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kelemahan sistem pertahanan siber yang melanda Eropah dan turut menyebabkan ribuan tan produk makanan segar mengalami kerosakan wajar dijadikan sebagai penanda aras kepada ekosistem tempatan, kata Dr Siti Nurhayati Khairatun Mohd Sharif.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Makanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata dalam konteks Malaysia, Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) kini giat memacu agenda pertanian pintar, automasi digital dan logistik bersepadu.

”Pusat pengedaran makanan mega, pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang (Selangor) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (Johor), gudang simpanan sejuk, serta kompleks pemprosesan ayam dan ternakan negara kini amat bergantung kepada automasi digital,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Advertisement

Beliau berkata sekiranya sistem pertahanan stok makanan negara diabaikan, ia boleh mencetuskan krisis bekalan makanan, pembelian panik, lonjakan harga makanan serta menjejaskan keyakinan pengguna terhadap tataamalan keselamatan siber negara.

“Justeru, peristiwa di Eropah wajib dijadikan amaran strategik kepada Malaysia. Rangkaian bekalan makanan mesti diiktiraf dan diperkukuh secara komprehensif di bawah skop Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) di bawah Akta Keselamatan Siber 2024. 

Advertisement

“Walaupun tahap amaran keselamatan siber negara telah dipertingkatkan sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menepis serangan siber, langkah kesiapsagaan perlu sentiasa di tahap terbaik bagi mengelak kerugian berskala besar kepada stok bekalan makanan negara,” katanya.

Siti Nurhayati Khairatun berkata insiden yang berlaku di Eropah juga telah mencabar takrif konvensional keterjaminan makanan yang selama ini tertumpu kepada perubahan iklim, kestabilan geopolitik dan kekangan logistik fizikal.

Justeru, beliau berkata audit berkala terhadap integriti teknologi operasi gudang makanan serta latihan kesiapsiagaan krisis agromakanan perlu diselaraskan merentas agensi keselamatan dan sektor industri.

“Keterjaminan makanan pada abad ini tidak lagi hanya bergantung pada kesuburan tanah atau kestabilan cuaca, tetapi turut berkait rapat dengan ketahanan kod verifikasi dan tahap keselamatan infrastuktur siber yang tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement