MALAYSIA
Kelemahan tatakelola, ketidaktelusan punca polemik jaguh badminton para negara - Azam Baki

Azam ketika berucap pada majlis Perasmian Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-4 di Pusat Konvensyen movenpick KLIA hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berpandangan kelemahan tatakelola dan ketidaktelusan menjadi punca polemik isu membabitkan jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou.
Ringkasan AI
- SPRM menyifatkan isu Cheah Liek Hou berpunca daripada kelemahan tatakelola dan ketidaktelusan, khususnya dalam penyampaian maklumat dan pelaksanaan dasar berkaitan imbuhan atlet.
- Cheah Liek Hou mendakwa belum menerima insentif RM60,000 selepas menang emas di Paralimpik 2024, dan Menteri Belia dan Sukan menyokong tuntutannya serta mengkritik tindakan Majlis Paralimpik Malaysia.
- Azam Baki turut mengaitkan isu tadbir urus dengan industri e-sukan, yang berpotensi menghadapi cabaran sama jika aspek integriti dan ketelusan tidak dititikberatkan dalam era digital dan AI.
"Itu dakwaan dia tetapi ada pihak telah mula membuat respons. Tetapi saya lihat di sini adalah tentang isu tatakelola yang mana mungkin tak difahami atau tidak diberitahu atau tidak ada satu governans yang sempurna yang perlu diikuti," katanya.
Azam berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 2025 di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kajian bertajuk 'Risiko Dalam Industri Sukan Elektronik (E-sukan) Negara' yang telah dijalankan oleh Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
Media melaporkan atlet berkenaan mendakwa Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebagai 'penipu' menerusi media sosial kerana masih belum melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan kepadanya selepas memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2024.
Keluhan jaguh badminton para negara itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang tidak bersetuju dengan cara layanan MPM, yang mengenakan tindakan tunjuk sebab terhadapnya.
Hannah menerusi hantaran di akaun Facebooknya berkata Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin dan tindakan yang dilakukan atlet itu hanya menuntut apa yang dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas di Paris, Perancis.
Azam turut mengaitkan isu tadbir urus itu dengan perkembangan industri e-sukan, yang menurutnya berpotensi menghadapi cabaran sama seperti sukan fizikal sekiranya aspek ketelusan dan tatakelola tidak dititikberatkan.
"Bagaimana menguruskan e-sukan ini sama juga seperti sukan fizikal yang berlaku sekarang, iaitu ada isu tentang ketidaktelusan governans dalam menguruskan sukan berkenaan," katanya.
Beliau berkata penyelidikan berhubung e-sukan telah dijalankan dan menunjukkan bidang itu bakal menjadi satu industri besar pada masa akan datang, seiring dengan perkembangan teknologi.
"Kita ke arah digitalisasi, kita ke arah AI (kecerdasan buatan). Jadi suka atau tidak, kita akan berhadapan dengan perkara-perkara begini. Malah kita sendiri sudah menggunakan AI (kecerdasan buatan) dan ChatGPT dalam kerja kita," katanya.
Menurut Azam, semua pihak perlu bersedia menghadapi cabaran baharu dalam landskap digital agar isu berkaitan tadbir urus dan ketelusan tidak berulang dalam industri e-sukan yang sedang berkembang pesat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami