KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan disaran mencari alternatif bagi menjana pendapatan kerajaan Negeri sebagai usaha mengelakkan pembukaan tanah secara berlebihan, sehingga menyebabkan hakisan hutan dan bencana alam.

Profesor dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre of Planetary Health, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, pelaburan bercirikan 'eco financing' wajar diperkasakan untuk melindungi hutan, dan pada masa yang sama menjana ekonomi kepada kerajaan Negeri.

"Jadi ini salah satu cara. Anda (kerajaan Persekutuan) tidak boleh katakan (kepada kerajaan Negeri) tak boleh guna hutan tanpa alternatif untuk mereka mendapatkan sumber kewangan.

"Kedua, saya bersetuju dengan cadangan Tan Sri Abdul Wahid Omar, di mana tanah-tanah yang diterokai misalnya kelapa sawit tetapi pokok-pokoknya sudah tua, perlu diganti dan sebagainya.

"Ini adalah satu peluang sebenarnya untuk menanam pokok-pokok berkualiti tinggi, yang mana pada masa depan ia boleh menghasilkan karbon yang baik di Malaysia.

"Ini kerana kita masih mempunyai liputan hutan yang banyak berbanding negara-negara maju," katanya pada sesi webinar anjuran Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bertajuk Pelestarian Ketika Situasi Krisis, hari ini.

Sesi yang dikendalikan oleh Ketua Setiuasaha KASA, Datuk Seri Zaini Ujang turut menampilkan Abdul Wahid, yang merupakan Pengerusi Bursa Malaysia Berhad sebagai ahli panel.

Dr Jemilah menjawab pertanyaan berhubung industri penanaman durian, yang disifatkan lebih mementingkan ekonomi berbanding impak kepada alam sekitar.

Sebelum ini, penduduk Kampung Ibol di Baling Kedah mendakwa kejadian banjir dan kepala air yang berlaku mempunyai kaitan dengan projek tanaman durian seluas kira-kira 1,200 hektar yang diusahakan di puncak Gunung Inas sejak 2018.

Begitupun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas itu tidak boleh dianggap sebagai punca utama berlaku kejadian banjir dan kepala air di Kampung Iboi kerana ia mempunyai persamaan dengan kejadian kepala air yang berlaku di Yan pada tahun lalu.

Astro AWANI juga melaporkan, Muhammad Sanusi berkata, pokok-pokok durian Musang King yang ditanam di atas tanah seluas 52 ekar itu tidak boleh dimusnahkan begitu sahaja kerana kerajaan Negeri terikat dengan kelulusan yang dibuat sebelum ini.

Tanpa merujuk kepada insiden di Baling, Dr Jemilah pada masa yang sama turut menzahirkan kekesalan kerana 'menyokong' industri penanaman durian yang didakwa menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar.

"Saya sebenarnya suka makan durian, tapi saya sekarang tak sanggup beli durian.

"Sebab saya rasa bersalah, yang saya menampung satu industri (melalui pembelian) yang menjahanamkan alam sekitar," luahnya.

Selain itu, beliau menambah kesedaran dalam kalangan masyarakat sejak di bangku sekolah lagi perlu ditekankan termasuk menggunakan platform media sosial untuk memyebarkan maklumat secara interaktif.

Mekanisme payments for ecosystem services (PES)

Sementara itu, Abdul Wahid mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme bayaran untuk perkhidmatan ekosistem atau payments for ecosystem services (PES) bagi mengalakkan kerajaan-kerajaan negeri mengekalkan dan memelihara alam semulajadi. 

"Untuk mereka yang memulihara dan memelihara (hutan semulajadi) ini perlu dasar mekanisme, di mana mereka diberikan ganjaran untuk membolehkan mereka terus memelihara dan memulihara kawasan hutan tersebut.

"Kedua dalam konteks antarabangsa, mekanisme kredit karbon (wajar) diberikan kepada negara-negara yang memulihara semula hutan dan mereka mendapat pembiayaan dan diberikan tabung kredit.

"Tetapi untuk mereka yang mengekalkan apa yang sedia ada, tidak ada tabung kredit kerana ia berdasarkan konsep additionality.  Bagi saya ini tidak adil sebab untuk negara-negara seperti Malaysia yang masih mempunyai lebih 50 peratus liputan hutan, ia perlu ada ganjaran di mana kita kekalkannya berbanding negara-negara maju," ujar Abdul Wahid.