PUTRAJAYA: Kelewatan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada semua mangsa banjir akan diselesaikan selepas isu berkaitan tuntutan banjir dapat diuruskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelewatan itu disebabkan beberapa faktor yang telahpun dikenal pasti dan akan ditambah baik dalam masa terdekat.

"Ada yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi ke rumah saudara mara. Mereka turut menuntut walaupun tiada kerosakan dan sebagainya.

"Ada pula yang menuntut bantuan peralatan barang rosak hingga RM2,500 walaupun tiada barang yang rosak.

"Misalnya di Selangor, ada yang tinggal di rumah pangsa, hanya tingkat satu yang tenggelam tetapi mereka yang di tingkat lima turut membuat tuntutan.

Jelasnya lagi, perkara tersebut telah menyebabkan berlaku kelewatan dalam proses pengesahan terhadap setiap tuntutan yang dikemukakan mangsa banjir.

Malah, sebahagian tuntutan yang dibuat juga turut dikesan agak meragukan.

“Jadi sebab itulah kita memerlukan tapisan daripada ketua-ketua kampung dan sebagainya.

"Ada yang berpindah tetapi air setakat buku lali di bawah rumah, sebagai contoh, tetapi dia dah berpindah,” katanya lagi.

Setakat ini, jelasnya ,lebih 97.5 peratus mangsa banjir yang terpaksa berpindah telahpun menerima bantuan BWI yang diperuntukkan kerajaan.