KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak berpuas hati dengan penjelasan Batik Air berhubung komunikasi gangguan penerbangan pada 22 Dis tahun lepas kepada pelanggan dan semalam, telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat penerbangan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu telah mengarahkan Batik Air Sdn Bhd mengemukakan representasi secara bertulis mengenai kelewatan penerbangan OD 7634 dari Kuala Lumpur (KL) ke Kuching.

Penerbangan itu dijadual berlepas dari KL ke Kuching pada 11.35 malam, 22 Dis 2022 tetapi ditangguhkan selama lapan jam dan akhirnya berlepas pada 7.45 pagi keesokan hari sehingga menjejaskan 170 penumpang.

"Batik Air telah memberikan maklumat tersebut kepada Mavcom berkaitan gangguan penerbangan OD 7634 dari KL ke Kuching.

"Bagaimanapun, bukti bagi mengukuhkan maklumat itu tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan jika Batik Air telah mengambil semua langkah melalui komunikasi dengan pengguna yang terjejas mengenai kelewatan penerbangan yang berlaku pada hari tersebut," katanya.

Sementara itu, siasatan Mavcom berhubung pembatalan penerbangan D7 219 oleh AirAsia X Bhd dari Melbourne ke KL pada 2 Jan 2023, mendedahkan bahawa semua pengguna yang terjejas telah dimaklumkan oleh syarikat penerbangan itu melalui SMS serta e-mel pada 30 Dis 2022.

"Berdasarkan laporan dan bukti yang diperoleh daripada AirAsia X serta pengguna yang terlibat, syarikat penerbangan itu telah memaklumkan gangguan penerbangan kepada pengguna yang terjejas dan menawarkan opsyen bagi menempah semula penerbangan mereka dari Melbourne ke KL bermula 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2023, tertakluk kepada ketersediaan.

"AirAsia X juga telah dapat mengagihkan semula pengguna penerbangan D7 219 lain yang terjejas dalam penerbangan antara 3 Jan dan 7 Jan 2023," katanya.

Mavcom berkata penemuannya menunjukkan bahawa AirAsia X menawarkan pilihan untuk mengurangkan gangguan penerbangan bagi pengguna yang terjejas berdasarkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) iaitu memberikan bayaran balik atau penerbangan alternatif kepada pengguna melalui peluang paling awal atau pada tarikh kemudian mengikut keselesaan penumpang, sekiranya berlaku pembatalan penerbangan.

Sementara itu, bergantung kepada jenis dan tahap ketidakpatuhan kepada MACPC, syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan 10 kali penalti untuk ketidakpatuhan kedua atau berikutnya.

"Sehingga kini, suruhanjaya itu telah mengenakan sejumlah RM4.7 juta penalti kewangan ke atas syarikat-syarikat penerbangan yang gagal mematuhi MACPC," katanya.

-- BERNAMA