Kelonggaran etika pemakaian dibenarkan dalam kes kecemasan, luar norma biasa - KSN

Shamsul Azri berkata langkah itu mengambil kira keadaan perkhidmatan barisan hadapan seperti anggota keselamatan, kesihatan dan lain-lain perkhidmatan yang berhubung terus dengan pelanggan. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan memberikan kelonggaran terhadap etika pemakaian bagi urusan di kaunter dan pejabat kerajaan dalam situasi kecemasan dan luar norma biasa untuk memastikan hak pelanggan mendapat perkhidmatan segera tidak dinafikan.
Ringkasan AI
- Kerajaan memberikan kelonggaran terhadap etika pemakaian di kaunter dan pejabat kerajaan dalam situasi kecemasan dan luar norma biasa bagi memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan segera.
- Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menegaskan bahawa kelonggaran etika berpakaian akan diberi dalam kes-kes kecemasan dan di luar norma biasa untuk memastikan hak pelanggan.
- Panduan kod etika berpakaian ketika berurusan di kaunter atau pejabat kerajaan telah ditetapkan dalam PKPA Bilangan 1 Tahun 2025 untuk memastikan kesopanan dan kesusilaan selaras dengan nilai Rukun Negara.
Beliau berkata urusan kecemasan dan di luar norma biasa merangkumi laporan kemalangan, laporan kebakaran serta urusan berkaitan bencana yang boleh mengancam nyawa dan harta benda.
Bagi urusan biasa perkhidmatan kaunter dan pejabat kerajaan pula, Shamsul Azri berkata ketua jabatan boleh menggunakan budi bicara sewajarnya untuk menentukan etika berpakaian yang sopan dan bersesuaian berlandaskan garis panduan yang berkuat kuasa.
"Perkhidmatan awam akan terus menambah baik perihal perhubungan pelanggan bagi memastikan akses dan penyampaian perkhidmatan perhubungan pelanggan yang mesra, cekap dan responsif selaras dengan pinsip Ihsan dalam nilai MADANI," katanya.
Shamsul Azri berkata secara umummya, panduan kod etika berpakaian ketika berurusan di kaunter atau pejabat kerajaan digariskan dalam PKPA Bilangan 1 Tahun 2025: Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam telah berkuat kuasa pada 20 Jan lepas yang menetapkan berpakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


