KUALA LUMPUR : Kerajaan memutuskan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) beberapa sektor bagi setiap fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di semua negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, kelonggaran itu termasuk pengoperasi Rehat dan Rawat (R&R) yang dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok, 16 Oktober 2021.

"Kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua fasa PPN juga bermula pada tarikh yang sama.

"Selain itu, pengurangan tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuatkuasa pada  Isnin iaitu 18 Oktober 2021.

"Tujuh hari kuarantin di rumah atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap.

"Manakala, 10 hari kuarantin bagi pengembara yang tiada atau tidak lengkap vaksin," kata beliau.

Menurut Ismail Sabri lagi, pengurangan tempoh kuarantin bagi kontak rapat juga adalah sama berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kelonggaran lain termasuk pembukaan perkhidmatan pusat siber dan kafe siber dipersetujui dengan penyelarasan kapasiti berkuatkuasa 17 Oktober 2021.

"80 peratus kapasiti bagi Fasa 3 dan 100 peratus bagi Fasa 4.

"SOP pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang telah dibentangkan di Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik bertarikh 27 September 2021 diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Oktober 2021.

"Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara berkuatkuasa 18 Oktober depan," jelas beliau lebih lanjut.

Sementara itu, bagi  sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) dibenar secara bersemuka dan ianya tertakluk buat individu yang lengkap divaksin.

"Ianya dilaksana bermula 18 Oktober 2021, dengan syarat perlu melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebelum acara menerusi kaedah saliva test atau RTK-Antigen, mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kapasiti 50 peratus mengikut ruang," ujar beliau.

BACA: PPN: Peralihan fasa di lapan negeri, Melaka dan Lembah Klang ke Fasa 4 - PM

Kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenal pasti.

Menurut Perdana Menteri kumpulan yang tersenarai adalah pembesar negara, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, exco kerajaan negeri, ahli-ahli parlimen dan pegawai-pegawai kerajaan.

Ujar beliau pelaksanaan, program rintis ini akan berkuatkuasa pada 18 Oktober 2021 dan akan turut diperluaskan buat pengembara perniagaan dalam waktu terdekat.

"Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan kelulusan.

"Selain itu, menjalani ujian RT-PCR tiga hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia dan ujian yang sama setibanya di mana-mana pintu masuk negara," katanya.

Bagaimanapun syarat-syarat ini terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko rendah sahaja dan individu yang lengkap divaksin.

"Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

"Patuhi setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri," seru beliau dalam kenyataan sama.

Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi lapan negeri bermula Isnin (18 Oktober).
Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih dari Fasa 2 kepada Fasa 3.

Manakala, Melaka dan Lembah Klang merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4.