Keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak berhasrat mahu memenjarakan Tommy Thomas, sebaliknya hanya mahu Peguam Negara itu tampil memohon maaf.

Hal itu dimaklumkan peguam keluarga Adib, Haniff Khatri Abdulla, selepas sesi pendengaran awal di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Permohonan yang dibuat oleh keluarga Adib ini, jika dibenarkan oleh mahkamah sebagai penghinaan, pihak keluarga tak berhasrat untuk meminta supaya Peguam Negara dipenjarakan.

“Apa yang penting adalah sekiranya mahkamah mendapati sepertimana kami percaya beliau melakukan penghinaan mahkmah, kami cuma mahu beliau minta maaf.

“Minta maaf pada mahkamah dan keluarga Adib, dan beri akujanji bahawa perkara seperti itu tak akan berulang," kata Haniff yang ditemui pemberita selepas sesi pendengaran.

Hakim Koroner, Rofiah Mohamad menetapkan 21 Ogos ini untuk mendengar permohonan sebelah pihak (ex-parte) bagi mendapatkan kebenaran merujuk Thomas untuk prosiding komital.

Sebelum ini, bapa Allahyarham Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan sebelah pihak dengan mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Penguam Negara pada 3 April lepas, menyatakan kematian Muhammad Adib bukanlah akibat dipukul.