Keluarga Nur Umairah terima pampasan insurans

Bernama
Ogos 1, 2019 10:48 MYT
Rina berkata pampasan itu merupakan insurans kemalangan diri berkelompok pelajar tadika dan taska Kemas yang disediakan jabatan itu bagi setiap pelajar. - Gambar fail
Keluarga Nur Umairah Syakirah Rosdi, murid Tadika Kemas di sini yang maut akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Ahad lepas, hari ini menerima pampasan insurans daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Pampasan itu diserahkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun kepada ibu Allahyarham, Nur Yusliana Mohd Yusof, ketika melawat guru tadika Kemas itu dan dua anaknya yang dirawat di Hospital Putrajaya di sini akibat kemalangan itu.
Nur Umairah, 5 tahun, murid Tadika Kemas di Presint 11 di sini maut apabila kenderaan Perodua Alza yang dinaiki bersama lima ahli keluarganya terlibat dalam pelanggaran dengan kereta Audi A5 di simpang empat lampu isyarat Jambatan Sri Ehsan di sini pada 28 Julai lepas.
Nur Umairah, yang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia ketika dirawat di hospital sementara ibunya patah kaki kiri dan tulang pinggul retak manakala abangnya yang berusia lapan tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri.
Kakaknya yang berusia enam tahun pula cedera di kepala serta patah kaki kiri, manakala bapa dan adik bongsunya mengalami cedera ringan.
Rina berkata pampasan itu merupakan insurans kemalangan diri berkelompok pelajar tadika dan taska Kemas yang disediakan jabatan itu bagi setiap pelajar.
Berkenaan keadaan Nur Yusliana, Rina berkata guru Tadika Kemas Bunga Alamanda, Presint 11 itu akan menjalani pembedahan pada bahagian kaki pada Isnin depan.
"Alhamdulillah, beliau nampak positif dan begitu berharap segera sembuh untuk kembali mengajar," katanya.
-- BERNAMA
#meninggal dunia #Nur Umairah Syakirah Rosdi #Nur Yusliana Mohd Yusof #pampasan #Rina Harun #Tadika Kemas #Tadika Kemas Bunga Alamanda