Keluarga anggota polis yang maut dalam nahas jalan raya ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Kajang Selatan Lebuh Raya Lekas, awal pagi Ahad, redha dengan kehilangan ahli keluarga mereka ketika bertugas.

Sebagai keluarga polis, mereka sangat memahami tugas serta tanggungjawab Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku.

Namun, bagi Sarjan (B) Muhammad Ismail Othman yang juga bapa Allahyarham, keluarganya bagaimanapun, sedikit terkilan kerana kejadian berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana orang ramai sepatutnya duduk di rumah, bukannya berada di jalan raya.

"Selepas mendengar berita itu saya rasa sedih, saya tidak menyangka perkara ini akan berlaku tetapi ini semua kehendak Allah.

"Saya redha walau saya menangis macam mana pun saya kena redha dengan apa yang berlaku ini, saya kena redha dengan ujian ini.

"Cuma ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pukul dua pagi tidak sepatutnya ada kenderaan atas jalan raya.

"Orang ramai kena faham betul-betul perkara ini, jangan main redah saja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Rambutan, Perak pada Ahad.

Safwan, 31, anak kedua daripada sembilan beradik dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu di bawah pengaruh alkohol kira-kira pukul 2 pagi ini di sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Allahyarham disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan selepas dihempap Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Selain Allahyarham yang masih bujang, kakak dan abang iparnya juga bertugas sebagai anggota polis di Ipoh.

Kali terakhir Allahyarham berjumpa keluarga ialah pada hari pertama Ramadan ketika pulang untuk melawat bapanya yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh kerana masalah jantung.

"Saya rasa terkilan sebab masa dia balik hari itu pun sempat berbual sekejap kerana bapa mertua masuk hospital.

"Selepas itu dia jadi resah bila fikirkan tentang ayah dan tanggugjawab dia yang perlu bertugas," kata abang ipar Allahyarham Safwan, Lans Koperal Mahmud Talip @ Latif.

Jenazah Allahyarham Safwan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bakar Bata, Tanjung Rambutan hari ini.

Pihak keluarga turut meminta orang ramai agar tidak lagi menularkan gambar-gambar kemalangan yang melibatkan Allahyarham.