T. Satishkumar, yang hilang di Pulau Pinang tahun lepas, berusia enam tahun pada hari ini, tetapi malangnya, beliau tidak akan menyambut hari kelahirannya bersama keluarganya.

Namun demikian, ketiadaan Satishkumar, tidak akan menghalang keluarganya daripada menyambut hari jadinya.

Ibunya K. Parvathy, 29, dengan berkata mereka akan membelikan baju baru untuk Satishkumar sempena hari jadinya dan memotong kek, pada setiap tahun.

“Tahun ini, anak sulung saya, Mageswary yang sangat rapat dengan Satishkumar , mencadangkan kita buat-buat macam. Kami mahu buat macam Thambi (nama timangan Satishkumar) masih berada di sisi kami dan sambut hari jadinya seperti biasa supayai kami tidak rasa kehilangannya.

“Mageswary berkata dia akan memotong kek bagi pihak Thambi,” kata Parvathy.

Walaupun tiada apa-apa berita mengenai tempat di mana Satishkumar berada, keluarga itu masih bersikap positif.

“Semasa Hari Thaipusam yang lepas, saya bernazar dengan membawa paal kudam (periuk susu) dan memcucuk pipi. Saya telah bernazar untuk berbuat demikian setiap tahun sampai anak saya kembali,” kata beliau.

Suri rumahtangga dan ibu kepada tiga orang itu berkata dia akan menjadi tak tentu arah dan sedih apabila dia melihat benda-benda yang meningatkan beliau kepada anaknya yang hilang.

“Saya masih lagi menyimpan baju-bajunya. Saya masih menyimpan gambarnya di dalam telefon bimbit saya. Saya begitu sedih bila saya melihatnya. Makanan kegemaran Thambi ialah kentang goreng, ayam goreng dan Sup Kuey Teow.

“Thambi juga suka makan ‘sambhar’ (kuah Dhal). Setiap kali saya masak sambhar, Thambi akan mintak lagi. Kami amat merindui dia,” kata beliau.

Parvathy berkata kali terakhir sesiapa menghubungi keluarga beliau mengenai kehilangan anaknya ialah tahun lepas.

“Pihak polis telah menghubungi kami untuk mengenalpasti gambar seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang hilang. Selepas itu, kami tidak menerima apa-apa berita tentang anak saya.”

Parvathy berkata anaknya hilang begitu sahaja dalam hanya beberapa minit.

“Pada hari yang malang itu, suami saya S. Anbarasan, telah membawa ayah saya S. Velmurugan dan Thambi untuk membeli makanan di sebuah medan selera di Jalan Sama Gagah, Permatang Pauh.

“Bapa saya pergi membeli makanan dan suami saya tunggu di lorinya kerana dia tidak dapat mencari tempat letak kereta. Anak saya ambil duit syiling dan turun mengikut bapa saya sementara suami saya bercakap dalam telefon.

“Dia beritahu bapanya dia hendak mengikut datuknya. Suami saya nampak anak saya mengikut bapa saya ke medan selera itu. Apabila bapa saya kembali, dia berkata dia tidak nampak Thambi mengikutnya. Itulah kali terakhir kami melihatnya,” kata beliau.

Sementara itu, pegawai penyiasat polis Mohamad Ehsan Abu Bakar berkata masih tiada petunjuk tentang tempat Satishkumar berada.

Sistem Nur Alert telah diaktifkan untuk mencari Satishkumar sejak dia dilaporkan hilang.