KUALA LUMPUR: Kelulusan Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 (Akta 725) dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023 (Akta 726) di Dewan Negara baru-baru ini, disifatkan sebagai antara inisiatif terbaik bagi selesaikan 'krisis elektrik' di Sabah.

Ini kerana Senator Datuk Noraini Idris berkata dengan perkembangan itu, kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu diserahkan kepada Sabah, sekali gus membolehkan kerajaan negeri memiliki kuasa untuk menguruskan hal ehwal berkaitan utiliti berkenaan.

"Rakyat Sabah semestinya sangat menyambut baik pindaan ini, kerana ia sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memenuhi terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya kepada Bernama.

Kedua-dua rang undang-undang berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Mei, dan di Dewan Negara pada 22 Jun lepas.

Noraini, yang juga Senator lantikan Dewan Undangan Negeri Sabah berpendapat, setelah Sabah memiliki kuasa kawal selia elektrik sepenuhnya, negeri itu mungkin boleh menawarkan bekalan elektrik pada tarif yang lebih rendah, seperti yang dilaksanakan di Sarawak.

"Insentif dan rebat mungkin juga boleh diberikan kepada pihak industri yang menggunakan tenaga solar," katanya.

Sebelum ini media melaporkan dua rang undang-undang mengenai Enakmen Bekalan Elektrik dan Enakmen Tenaga Boleh Diperbaharui, serta pindaan kepada Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 (kemasukan fungsi kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui), akan dibentangkan semasa Sidang Khas Dewan Undangan Negeri Sabah pada 3 Januari tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Nor sebelum ini berkata langkah yang perlu dilakukan ialah kelulusan Kabinet Persekutuan untuk memohon dan mewartakan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan, bagi menggantung Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 (Akta 725), dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726), di Sabah.

Senator Datuk Bobbey Suan dalam sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan sebelum ini berkata isu bekalan tenaga elektrik di Sabah sudah mencapai tahap kritikal, dengan pada Mei lepas sahaja hampir semua bandar utama di Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik yang serius.

Sehubungan itu beliau berkata pindaan rang undang-undang berkenaan sangat penting bagi memberi laluan kepada Sabah untuk mentadbir dan menyelia pembangunan dan perkembangan tenaga elektrik di negeri itu.

--BERNAMA