JASIN: Seorang pemandu pacuan empat roda rentung selepas kenderaannya dipercayai dirempuh treler sebelum terbakar di Kilometer 193.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 2.15 pagi.
Advertisement
“Seorang mangsa tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda yang terbakar kira-kira 80 peratus manakala treler musnah 50 peratus, namun pemandunya berjaya keluar dengan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Hafidzatullah berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi melibatkan 20 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan Jasin Bestari.
-- BERNAMA