KUALA LUMPUR: Kelulusan keahlian Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang baharu mesti berdasarkan konsensus.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini adalah salah satu daripada dua kriteria kelulusan yang telah dipersetujui yang ditetapkan oleh negara-negara CPTPP iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Pada Ahad, CPTPP secara rasmi mengalu-alukan United Kingdom (UK) sebagai ahlinya yang ke-12 susulan majlis menandatangani Protokol Penyertaan yang berlangsung di Auckland, New Zealand semasa Mesyuarat Suruhanjaya Menteri CPTPP Ketujuh.

Tengku Zafrul berkata untuk menjadi ahli baharu CPTPP, semua ahli sedia ada mesti bersetuju dengan permohonan tersebut tanpa mengambil kira negara pemohon dan enam negara - China, Taiwan, Ukraine, Ecuador, Costa Rica dan Uruguay - setakat ini, telah menyatakan minat mereka untuk menjadi sebahagian daripada pakatan perdagangan tersebut.

"Kita tidak berbincang secara mendalam (negara) mana yang kita akan lihat dahulu, (tetapi) apa yang kita persetujui ialah, pertama, apa-apa keputusan mestilah keputusan konsensus, iaitu kesemua 12 negara mesti bersetuju.

"Kita tidak mahu tergesa-gesa, kita mahu memastikan semua parameter (yang telah ditetapkan) dipersetujui oleh kesemua negara.

"Oleh itu, mana-mana negara yang mahu memohon menyertai CPTPP, ada asas dan parameter yang sama untuk semua (penuhi)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pelabur dan Vendor Global Proton 2023 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata kriteria keahlian lain yang penting ialah negara itu mesti memenuhi syarat ketat keahlian CPTPP.

"Standard CPTPP adalah tinggi, kami menamakannya standard emas. Oleh itu, sesiapa yang mahu menjadi sebahagian daripada CPTPP, mesti memenuhi semua syarat yang telah dipersetujui oleh kesemua 12 negara," katanya.

Mengulas mengenai UK menjadi tambahan terkini kepada CPTPP, Tengku Zafrul berkata penyertaan negara itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Malaysia tetapi juga negara-negara anggota lain, berdasarkan ia adalah sebahagian daripada G7 - ekonomi keenam terbesar di dunia.

Beliau berkata UK juga antara rakan perdagangan dan pelaburan terbesar Malaysia.

"Apa yang bagus ialah dari segi eksport. Kita mempunyai komoditi seperti koko, getah dan kelapa sawit yang tidak ada tarif ke UK dan ini akan memberi peluang kepada syarikat tempatan apabila mahu eksport ke UK," katanya.

Malaysia memuktamadkan perjanjian CPTPP pada September tahun lepas, menjadi negara kesembilan daripada 11 negara yang meratifikasi perjanjian tersebut.

-- BERNAMA