Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
NATIONAL

Kemalangan 5 maut: Siasatan terperinci, tindakan tegas akan diambil - Anthony Loke

Ernalisa Othman 28/03/2025 | 15:12 MYT
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan siasatan terperinci dan telus akan dijalankan berhubung kemalangan maut yang meragut lima nyawa di KM58.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Kluang, Johor malam tadi. - Foto BERNAMA
SEPANG: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan siasatan terperinci dan telus akan dijalankan berhubung kemalangan maut yang meragut lima nyawa di KM58.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Kluang, Johor malam tadi.


Ringkasan AI
  • Anthony Loke menegaskan siasatan terperinci akan dijalankan berhubung kemalangan maut di KM58.1 Lebuhraya PLUS, Kluang, Johor, yang meragut 5 nyawa.
  • Beliau tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengangkutan yang melanggar peraturan keselamatan, termasuk dakwaan penggunaan tayar klon.
  • Loke memberi jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan dan audit terhadap syarikat pengangkutan akan diperketat bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.


Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengangkutan yang menyebabkan kemalangan tersebut sekiranya ia didapati melanggar peraturan keselamatan.

“Saya berdukacita dengan kejadian itu. Kejadian ini sangat menyedihkan dan merupakan satu tragedi besar, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

"Syarikat tersebut akan disiasat, diaudit, dan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pelanggaran peraturan," katanya kepada media ketika ditemui di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Jumaat.

Katanya, siasatan menyeluruh akan dilakukan mengenai dakwaan treler yang terlibat dalam kemalangan maut itu menggunakan tayar klon.

"Setakat ini kita mendapat tahu tayar lori itu meletup dan mengakibatkan kemalangan.

"Saya harap orang ramai jangan buat andaian terlalu awal kerana siasatan masih lagi dilakukan.

"Jika benar apa yang didakwa kami akan ambil tindakan tegas kepada syarikat terlibat. Kita belum dapat memastikan sama ada tayar yang digunakan adalah tayar klon atau tidak.

"Sebarang kesimpulan awal tanpa siasatan menyeluruh hanya akan mengundang spekulasi yang tidak wajar," jelasnya.

Kemalangan yang berlaku sekitar jam 11.30 malam Khamis, mengorbankan lima individu termasuk pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Insiden dipercayai berpunca daripada tayar hadapan treler yang pecah, menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah Toyota Camry yang berada di laluan sama.

Dalam pada itu, Loke turut memberi jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan serta audit terhadap syarikat pengangkutan akan terus diperketat bagi memastikan insiden serupa tidak berulang.


#nahas empat kenderaan #Kluang #siasatan #Anthony Loke