MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: "Adik saya masih trauma akibat tercampak keluar dari bas" - Abang mangsa

Muhamad Najmi (kiri) berkata, adiknya, Abdul Wafiy kini ditempatkan di Hospital Gerik untuk menerima rawatan lanjut.
KUALA LUMPUR: Ahli keluarga kepada seorang mangsa nahas bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi, Muhamad Najmi Kamarudin memaklumkan, adiknya, Abdul Wafiy Kamarudin masih trauma dengan kejadian yang berlaku awal pagi tadi.
Bercakap kepada Astro AWANI, Muhamad Najmi berkata, adiknya yang juga pelajar semester keenam dalam jurusan pendidikan seni kini ditempatkan di Hospital Gerik untuk menerima rawatan lanjut.
"Awal pagi tadi saya tengok berita di Facebook, kebetulan pagi itu ada orang share (kongsi). Maknanya di peringkat awal lagi, orang baru share, saya terkejut, saya teringat adik saya ada dalam bas dengan gambar yang ada dalam Facebook.
"Saya beritahu kepada keluarga saya, dan saya hubungi adik saya. Bila cuba hubungi tak dapat dihubungi, lama-lama baru kita dapat maklumat tentang ada kematian dan sebagainya."Adik saya dalam keadaan terkejut, tapi dia boleh bercakap lagi lah. Dia kata dia okey tapi lepas dapat call dia... muka dia merah, ada bengkak, dia beritahu dia tercampak keluar dari bas," katanya.
Semasa kejadian, Abdul Wafiy duduk di bahagian belakang.
Dalam perkembangan sama, UPSI mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan jalan raya melibatkan sekumpulan pelajar institusi itu menaiki sebuah bas persiaran di kawasan Gerik, Perak.
Menurut kenyataan rasmi UPSI, pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berhubung insiden terbabit.
Susulan kejadian itu, UPSI juga telah membuka bilik gerakan bagi menyalurkan maklumat semasa dan membantu waris yang terkesan.
Awal pagi tadi, sekurang-kurangnya 15 orang disahkan maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami