MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Dekan, pensyarah bantu penuntut teruskan pengajian - Naib Canselor

Md Amin berkata penuntut yang masih dirawat di hospital atau rumah itu perlu dibantu dengan sebaik-baiknya dalam urusan tugasan akademik, supaya tiada yang tercicir atau ketinggalan. - Gambar fail
IPOH: Dekan dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) perlu memastikan kesemua penuntut yang cedera dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik baru-baru ini, tidak menangguhkan pengajian mereka pada semester ini, kata Naib Canselor universiti berkenaan Prof Datuk Md Amin Md Taff.
Ringkasan AI
- Naib Canselor UPSI mengarahkan dekan dan pensyarah memastikan pelajar yang cedera dalam kemalangan di Gerik tidak menangguhkan pengajian dan dibantu dalam tugasan akademik.
- Sultan Perak dan Menteri Pendidikan Tinggi turut menitahkan agar pelajar terlibat diberi sokongan agar tidak tercicir, termasuk mereka yang membantu rakan secara sukarela.
- Majlis Tahlil Perdana diadakan bagi mangsa kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar UPSI, dengan sumbangan disalurkan oleh pelbagai agensi untuk membantu mereka yang terkesan.
Beliau berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah menitahkan supaya pelajar terbabit diberikan bantuan supaya tidak ketinggalan dalam pengajian, selain pesanan sama juga diberikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Selain itu Md Amin berkata beliau juga mahukan supaya kebajikan, perhatian dan sokongan sewajarnya diberikan kepada penuntut UPSI yang turut terkesan atau membantu rakan mereka terlibat dalam kemalangan tersebut secara sukarela.
"Bayangkan ketika mereka membuat pembentangan, daripada lima nama (pelajar terlibat tugasan) hanya tiga sahaja berada di kelas (atau) bilik kolej, daripada empat sahabat hanya tinggal berdua (kerana rakan lain terlibat nahas itu). Saya mohon semua untuk membantu anak-anak ini melalui saat sukar," katanya.
Dalam sesi taklimat itu, Md Amin mengalu-alukan semua untuk menghadiri Majlis Tahlil Perdana mangsa kemalangan tersebut di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim petang ini, yang turut melibatkan penyerahan sumbangan daripada pelbagai agensi bagi membantu mereka terlibat.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami