MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Kabinet arah bangunkan pangkalan data, rekod lampau pemandu bas

Keadaan bas persiaran membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas terlibat nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) pada Isnin. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu bersepakat untuk membangunkan pangkalan data bagi memeriksa rekod lampau pemandu bas, termasuk kesalahan lalu lintas.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan membangunkan pangkalan data pemandu bas melalui APAD untuk merekod dan menyenarai hitam pemandu yang mempunyai rekod kesalahan lalu lintas, bagi membantu syarikat bas membuat pemilihan pemandu yang lebih bertanggungjawab.
- Langkah ini diambil susulan kes nahas bas UPSI yang melibatkan pemandu dengan 18 saman lampau, termasuk kesalahan memandu laju dan tidak memakai tali pinggang keledar.
- Kementerian Pengangkutan juga mempertimbang mewajibkan pemasangan alat pengehad kelajuan pada bas yang didaftarkan sebelum 2015 dan mencadangkan pembatalan lesen pengendali bagi syarikat yang mengusik alat tersebut.
“Menteri (Kementerian) Pengangkutan akan membina satu sistem pangkalan data yang mengumpulkan semua rekod pemandu bas sama ada ekpsres, persiaran dan sebagainya.
“Pangkalan data ini dibangunkan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya mana-mana pemandu bas yang mempunyai rekod lampau akan dapat disenarai hitam.
“Ini boleh dijadikan rujukan kepada syarikat bas ketika mengambil pemandu untuk bekerja di bawah mereka, elak ambil pemandu tidak berwibawa,” jelas Loke.
Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.
Untuk rekod, pemandu bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat nahas mempunyai 18 saman, 13 atas kesalahan memandu laju, satu kesalahan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.
Tambahnya, Kementerian Pengangkutan akan memberikan penekanan lebih tegas kepada aspek penguatkuasaan dan penilaian pemandu.
Selain itu, alat pengehad kelajuan sudah diwajibkan untuk dipasang pada setiap kenderaan sejak tahun 2015.
“Namun dalam kes nahas bas UPSI, kenderaan terbabit didaftarkan pada tahun 2013.
“Jadi kita akan lihat keperluan wajibkan pemasangan speed limiter untuk bas sebelum tahun 2015.
“Kemudian satu lagi isu adalah sesetengah syarikat mengusik alat penghad kelajuan ini, setakat ini kita bercadang untuk batalkan terus lesen pengendali bas sebagai tindakan penguatkuasaan,” ujar Loke.
Beliau berkata sedemikian dalam sidang media di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Rabu.
Terdahulu dalam kejadian pada pagi Isnin, 15 pelajar UPSI disahkan meninggal dunia sementara 27 yang lain cedera.
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Terengganu ke Kampus UPSI di Tanjung Malim itu melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami