MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Lewat 15 minit, pelajar terselamat

Rakan-rakan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi turut hadir di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Kesesakan lalu lintas menyebabkan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlepas daripada menaiki bas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik sehingga mengorbankan 15 nyawa awal pagi tadi.
Ringkasan AI
- Pelajar terselamat akibat kelewatan: Nur Adilah Mohd Rusdi, pelajar UPSI, tidak sempat menaiki bas yang terlibat dalam kemalangan di Gerik kerana tiba lewat 15 minit akibat kesesakan lalu lintas.
- Reaksi dan trauma selepas kejadian: Nur Adilah terkejut apabila polis menyatakan namanya tersenarai sebagai penumpang bas tersebut, namun dia bersyukur terselamat walaupun masih mengalami trauma.
- Takdir dan kebetulan menyelamatkan nyawa: Sebelum bertolak, Nur Adilah sempat berbual dengan neneknya dan menyatakan kebimbangan tentang kemalangan, yang akhirnya hampir menjadi kenyataan, tetapi takdir menyelamatkannya.
Wanita itu memberitahu Bernama bahawa kereta yang dipandu suaminya Mohd Rusdi Ramli, 55, untuk menghantar anak mereka, tiba di lokasi berkenaan selepas bas bergerak.
"Apabila dihubungi, pemandu memaklumkan bas akan berhenti di Machang, namun suami enggan menghantar hingga ke Machang kerana jaraknya yang agak jauh. Akhirnya, anak saya menumpang bapa saudaranya, Mohd Nizam Husien yang kebetulan turut bertolak ke Kuala Lumpur malam tadi," katanya.
Rosyidah berkata anaknya bertolak dari rumah mereka di Kampung Gong Bayor, Besut sekitar 12 tengah malam bersama bapa saudaranya.
Wanita itu berkata anaknya cuba menghubungi rakan-rakan yang menaiki bas tersebut sekitar 1 pagi, namun tiada jawapan, sebelum seorang rakan menghubunginya sekitar 2 pagi untuk memaklumkan bahawa bas itu terlibat dalam kemalangan
"Lebih mengejutkan, polis turut menghubungi anak saya dan memaklumkan namanya tersenarai sebagai seorang daripada penumpang bas tersebut.
"Sebenarnya tempat duduk yang sepatutnya diduduki anak saya ialah nombor sembilan, tetapi malam tadi ia diduduki oleh rakannya," katanya.
Rosyidah bersyukur anaknya selamat, namun sehingga kini anaknya itu masih trauma dan enggan ditemu bual.
Beliau berkata sebelum bertolak malam tadi Nur Adilah sempat berbual dengan neneknya dan mengucapkan selamat tinggal, sambil menyatakan rasa bimbang sekiranya berlaku kemalangan.
"Saya sempat menegur dia kerana berkata begitu, tapi dia hanya tersenyum. Siapa sangka kata-katanya itu hampir jadi kenyataan. Saya bersyukur kerana takdir menyelamatkannya malam tadi," katanya.
Rosyidah berkata selain Nur Adilah, seorang lagi rakan anaknya turut terselamat kerana tidak menaiki bas tersebut setelah dimasukkan ke Hospital Besut akibat demam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami