MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Rakyat Malaysia zahir rasa dukacita, #DoaUntukUPSI tular

Ribuan rakyat Malaysia menzahirkan rasa dukacita melalui media sosial, mengirim doa dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta warga UPSI. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Negara hari ini diselubungi duka apabila kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Banun berdekatan Tasik Banding di Gerik, yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ringkasan AI
- Tragedi kemalangan yang mengejutkan negara: Kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, melibatkan sebuah bas yang membawa 44 pelajar UPSI dan sebuah Perodua Alza, mengakibatkan 15 kematian.
- Luahan kesedihan dan solidariti: Rakyat Malaysia, termasuk pemimpin negara dan tokoh pendidikan, menzahirkan ucapan takziah serta sokongan di media sosial, dengan hashtag seperti #TragediGerik dan #DoaUntukUPSI menjadi tular.
- Bantuan dan penghormatan kepada mangsa: Majlis tahlil serta doa selamat diadakan di pelbagai lokasi, sementara UPSI, PERKESO, agensi kerajaan dan NGO tampil memberikan sokongan moral dan bantuan kepada keluarga mangsa serta mereka yang cedera.
Perdana Menteri, pemimpin negara, tokoh pendidikan, artis, serta rakyat biasa menyampaikan rasa sedih yang mendalam atas kehilangan besar ini, terutama kerana mangsa terdiri daripada golongan muda yang mewakili harapan masa depan negara.
“Mereka baru sahaja kembali daripada menyambut Aidiladha bersama keluarga. Kehilangan ini menyentap jiwa seluruh rakyat. Kami berkongsi kesedihan ini bersama keluarga mangsa,” ujar seorang pengguna media sosial yang turut memuat naik gambar kenangan bersama rakannya yang terkorban.
Majlis tahlil dan doa selamat turut diadakan di beberapa masjid dan institusi pengajian tinggi, manakala UPSI membuka ruang khas untuk warga kampus menzahirkan penghormatan terakhir kepada rakan-rakan mereka yang telah pergi menghadap Ilahi.
“Hari ini, bukan hanya keluarga mangsa yang berduka. Satu negara turut menangis. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan keluarga yang ditinggalkan terus diberi kekuatan,” menurut kenyataan rasmi daripada UPSI.
Dalam pada itu, PERKESO, agensi kerajaan dan NGO turut tampil memberikan sokongan moral serta bantuan kepada keluarga mangsa dan yang cedera.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami