MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: 'Setiap malam saya menangis, dihantui mimpi buruk'

Mangsa kemalangan di Gerik, Aleeya Maisarah (kanan) ketika menerima kunjungan Noraini (tengah) di kediaman keluarganya di Taman Perumahan Awam Gong Nering, Besut pada Rabu.
BESUT: Walaupun tragedi nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, telah memasuki hari kesepuluh, kebanyakan mangsa yang terlibat masih dihantui mimpi ngeri dan trauma berpanjangan.
Ringkasan AI
- Mangsa nahas bas, Aleeya Maisarah, masih mengalami trauma dan mimpi buruk berpanjangan termasuk berkaitan kehilangan ahli keluarga, menyebabkan kemurungan dan kesukaran untuk menjalani kehidupan harian.
- Aleeya menerima sokongan kaunseling berterusan daripada kaunselor profesional, yang membantu menenangkan emosi walaupun masih dalam fasa pemulihan mental.
- Dari segi fizikal, Aleeya mengalami kecederaan belakang dan kaki, termasuk masalah cakera tergelincir yang memerlukan pembedahan dan pemeriksaan lanjut seperti CT scan dan X-ray.
“Setiap malam saya menangis. Saya banyak termenung dan rasa seperti berada dalam dunia sendiri.
“Saya bukan hanya mimpi tentang kemalangan, tetapi juga mimpi seolah-olah ahli keluarga saya pula yang ‘pergi’.
“Saya banyak termenung. Keluar rumah pun rasa macam tak keluar... hanya duduk dan memandang kosong,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Perumahan Awam Gong Nering, di sini pada Rabu.
Aleeya berkata, dari segi emosi dan kesihatan mental, dia menerima sesi kaunseling secara berterusan termasuk daripada kaunselor profesional.
“Kaunselor ada datang beri sokongan. Saya bersyukur kerana walaupun masih dalam fasa kemurungan, bimbingan mereka membantu saya rasa sedikit tenang,” ujarnya.
Mengenai keadaan kesihatan fizikal, Aleeya yang mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan kaki turut memaklumkan bahawa dia pernah menjalani pembedahan memasukkan besi di bahagian belakang akibat masalah cakera tergelincir (slip disc).
“Waktu kejadian, saya minta orang tolong gosok belakang sebab sakit sangat. Saya juga alami lebam dan pening berpanjangan. Jadi saya akan buat semula pemeriksaan CT scan dan X-ray dalam masa terdekat,” katanya.
Mengimbas kembali detik sebelum kejadian, Aleeya berkata, dia berasa pelik kerana tempat duduk kegemarannya di bahagian kiri belakang bas telah pun dipenuhi.
“Biasanya saya suka duduk kiri belakang, tetapi hari itu penuh. Jadi saya duduk di kanan belakang, tiga baris dari belakang. Saya tak sangka itu antara detik terakhir saya sempat bergurau dan melambai dengan rakan-rakan,” ujarnya sebak.
Turut hadir menziarahi keluarga itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami