MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Wajibkan pemakaian tali pinggang keledar, pasang kotak hitam

Kemalangan yang menyebabkan kehilangan banyak nyawa mungkin berpunca daripada human collision yang membawa kecederaan parah. - Bernama
KUALA LUMPUR: Selain faktor ciri keselamatan yang kurang efisien di Jalan Raya Timur Barat, pihak berwajib harus mempertimbangkan ciri keselamatan tambahan khususnya untuk kenderaan komersial.
Pakar keselamatan jalan raya, Prof Madya Dr Law Teik Hwa said, melaksanakan pendekatan tali pinggang keledar boleh mengurangkan kecederaan dalam kemalangan, terutamanya bas atau trak.
Mengambil contoh insiden nahas yang membabitkan anggota FRU dan pelajar UPSI yang mengakibatkan banyak kematian, Dr Law berkata, ada kemungkinan ia berpunca daripada human collision yang membawa kecederaan parah.
“Kalau tak ada tali pinggang keledar, apabila kemalangan berlaku membabitkan bas atau trak, akan berlaku human collision. Saya syak kemalangan itu menyebabkan banyak kehilangan nyawa, salah satu punca mungkin adalah human collision, di mana mangsa berlanggar antara satu sama lain,” katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI, pada Isnin.Selain itu, beliau menegaskan, faktor pemandu juga penting kerana kualiti pemandu bas kerap kali tidak diutamakan, malah menekankan pengambilan pemandu bas dikenakan syarat dan penilaian yang ketat seperti juruterbang.
“Tengok saja kurikulum ujian memandu termasuk untuk pemandu persendirian. Kita pergi ke JPJ, mereka hanya nak pastikan kita boleh memandu saja tapi tak ada komponen nak pastikan sama ada kita mahir atau tidak.
“Atau jika dalam situasi cemas atau bahaya, macam mana reaksi pemandu itu. Dalam hal ini, mesti ada latihan yang berterusan, tak boleh buat sekali saja,” katanya lagi.
Sementara itu, pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional, Prof Madya Dr Ng Choy Peng berkata, cadangan JPJ untuk memasang kotak hitam pada kenderaan komersial pada 2004 tidak diluluskan di Parlimen kerana bantahan daripada pengusaha.
“Selepas 21 tahun, usul yang bagus ini masih tak dilaksanakan. Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan draf undang-undang terutama untuk pemandu komersial. Sesuatu perlu dibuat,” katanya.
Tambahnya, sistem telemetri boleh digunakan bagi menjejaki jarak dan masa perjalanan, menganalisis pemanduan dan tabiat memandu, serta teknologi di mana kenderaan berhenti secara automatik apabila pemanduan melebihi masa yang ditetapkan.
Turut boleh dilaksanakan ialah sistem Penanda Turapan Reflektif Dinaikkan (RRPM), yang boleh memberikan lebih kejelasan penglihatan untuk pemanduan dalam gelap.
“Waktu malam apabila pemandu buka lampu kereta, cahaya akan dipantul jadi boleh nampak jalan dengan lebih jelas.
“Sekarang banyak material baharu (yang boleh digunakan), contohnya pada waktu siang ia ambil tenaga matahari dan tenaga itu akan ditukar pada waktu malam untuk menerangkan jalan.
“Ini patut diguna untuk line marking yang akan bantu pemandu untuk melihat dengan lebih baik pada waktu malam,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami