TANJUNG MALIM: Pemandu kereta jenis BMW330E telah hadir bagi merakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim, di sini, pada Rabu.

Rakaman keterangan itu dibuat berhubung kejadian kemalangan membabitkan dua buah kereta jenis BMW 330E dengan Proton Inspira di Kilometer (km) 385.6 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan di sini pada Isnin.

Kemalangan yang tular di media sosial itu juga dikatakan turut mengakibatkan kecederaan tiga beranak selain didakwa pemandu kereta BWM berkenaan telah melarikan diri selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata lelaki berumur 30 tahun itu telah hadir ke IPD Mualim pada pukul 10 malam selepas membuat laporan kemalangan di IPD Gombak, Selangor pada jam 3.17 petang, hari sama.

Ujarnya, dalam kejadian pada pukul 7.30 petang Isnin itu, pemandu kereta Proton Inspira berumur 30 tahun bersama tiga penumpang lain sedang dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, ketika di tempat kejadian, kereta BMW tersebut secara tiba-tiba keluar dari lorong tengah dan masuk ke laluan kanan di laluan yang dilalui oleh kereta Proton Inspira.

Tambah beliau, pemandu Proton Inspira tersebut telah cuba mengelak tetapi hilang kawalan sebelum terlanggar bahagian sisi belakang kanan kenderaan BMW dan terbabas sehingga terlanggar besi pembahagi jalan raya.

“Punca kemalangan adalah disebabkan mengubah haluan, dimana kenderaan BMW itu secara tiba-tiba masuk dihadapan laluan kenderaan Proton Inspira dari lorong tengah ke lorong kanan, ketika Proton Inspira berada di lorong sebelah kanan.

“Kedua-dua kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan Puspakom  dan ujian kimia untuk kesan 'point of impact',” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Mohd. Hasni, kemalangan terbabit telah mengakibatkan kecederaan pada tangan kanan pemandu Proton Inspira sementara penumpang wanita berumur 30 tahun mengalami retak di bahagian pergelangan kaki kiri.

“Seorang bayi lelaki berumur 4 bulan mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang peha, patah tulang pinggul dan pendarahan di bahagian otak. Sementara seorang penumpang lelaki berumur 20 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Kesemua mangsa telah di bawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan sementara bayi lelaki berumur 4 bulan tersebut telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut. Kerosakan kenderaan yang dialami adalah remuk pada bahagian hadapan,” jelasnya lagi.

Sementara pemandu BMW berkenaan tidak mengalami kecederaan selain kenderaannya mengalami calar pada bahagian sisi belakang kanan dan rim tayar bahagian belakang sebelah kanan.

Mohd. Hasni berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan  (APJ) 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000 atau
penjara bagi tempoh maksimum 12 bulan atau kedua duanya sekali.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil memberi keterangan untuk membantu siasatan.