MALAYSIA
Kemalangan helikopter: Pembantu juruterbang sempat telefon minta doakan keselamatan - Bapa

Semalam, sebuah helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa lima kru terlibat dalam kemalangan ketika menjalani MITSATOM 2025. - Bernama
JOHOR BAHRU: "Dia baru sahaja telefon saya minta saya doakan (keselamatan) ... tidak lama selepas itu, saya dapat tahu helikopter dia terhempas," demikian luahan Baharom Mohammed, 82, bapa kepada pegawai polis Supt Ahmad Bustamin Baharom, 46, yang terlibat dalam kemalangan helikopter berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, semalam.
Ringkasan AI
- Supt Ahmad Bustamin Baharom, salah seorang kru helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai, sempat meminta doa keselamatan daripada bapanya sebelum kejadian dan berjaya menyelamatkan rakan setugas lain walaupun mengalami kecederaan.
- Helikopter jenis AS355N itu terlibat dalam latihan keselamatan nuklear MITSATOM 2025 bersama negara jiran dan membawa lima kru, kesemuanya berjaya diselamatkan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
- Ahmad Bustamin mengalami patah tulang rusuk dan lebam di muka tetapi berada dalam keadaan stabil, sementara keluarganya dari Kedah telah tiba di hospital untuk memberikan sokongan.
"Dia pernah ambil latihan berkaitan pengendalian helikopter sebelum ni. (Ketika kejadian) dia (berjaya) keluar dulu, selepas itu dia bantu anggota lain termasuk seorang yang hampir lemas. Ada juga yang pengsan semasa kejadian.
"Kami berdoa sepanjang malam tadi dan syukur semua kru selamat. Isterinya juga berada di hospital menemani Ahmad Bustamin," katanya yang tiba di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 8 pagi tadi bersama isterinya, Che Mah Abu Bakar, 76, dari Alor Setar, Kedah.
Baharom berkata Ahmad Bustamin yang juga bapa kepada empat anak berusia sembilan hingga 16 tahun, mengalami patah tulang rusuk, lebam di muka, serta kebas di kaki, namun berada dalam keadaan sedar dan stabil.
"Awalnya, muka dia bengkak, tetapi sudah surut sikit. Nasib baik dia pakai topi keledar ketika kejadian. Kalau tidak, mungkin lagi teruk," katanya.
Semalam, sebuah helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa lima kru terlibat dalam kemalangan ketika menjalani Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 melibatkan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.
Selain Ahmad Bustamin, anggota dan pegawai lain yang terlibat ialah juruterbang helikopter ACP Faizul Mohammad, pemerhati udara Koperal Adeline Liu Yan Siu, anggota Balai Polis Tanjung Kupang Sarjan Siti Latipa Khairuddin dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri Konstabel R. G. Devendran.
Kesemua kru berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan kini sedang menerima rawatan lanjut di HSA.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan turut hadir melawat mangsa yang sedang menerima rawatan di HSA kira-kira pukul 11 pagi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami