NATIONAL
Kemalangan UUM: KPT tidak memandang ringan keselamatan semua universiti - Zambry

Zambry menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak memandang ringan susulan kemalangan membabitkan seorang pelajar siswi di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah pada Sabtu lepas.
Ringkasan AI
- KPT memandang serius kemalangan yang melibatkan pelajar di semua universiti, termasuk insiden di UUM yang mengorbankan seorang pelajar.
- UUM akan menubuhkan dua jawatankuasa untuk menilai semula aspek keselamatan perkhidmatan bas kampus bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
- Pelajar UUM, Manarina Hasya Muhamad Karim meninggal dunia akibat kemalangan membabitkan dua bas dan telah dikebumikan di Johor.
“Bukan sekadar UUM tetapi semua universiti. Kita tidak memandang ringan akan perkara-perkara yang melibatkan hal ini ,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menurut Zambry lagi, pihak UUM juga akan menubuhkan dua jawatankuasa untuk untuk menilai semula aspek keselamatan perkhidmatan bas kitaran kampus agar insiden yang sama tidak berulang.
“UUM telahpun memaklumkan kepada saya bahawa mereka telah menubuhkan dua jawatankuasa bagi melihat keseluruhan dari segi prosedur dan hal-hal berkaitan.
“Bagi memastikan bahawa kejadian seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya.
Semalam media melaporkan seorang pelajar UUM, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah bas di Jalan Persiaran Perdana, UUM.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada badan sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada pukul 6.30 petang semalam.
Jenazah Manarina selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chemplak di Labis, Johor lewat malam tadi sebaik selesai urusan bedah siasat di hospital.
Pada Ahad, Zambry turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memberi jaminan siasatan teliti sedang dijalankan berhubung kejadian itu.
Tambahnya, laporan penuh siasatan kejadian itu akan dimaklumkan dengan pihak UUM juga telah mengambil tindakan sewajarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami