KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menggali 100 buah telaga tiub bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang menghantui pesawah di negeri ini akibat kemarau.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerja-kerja tersebut melibatkan peruntukan penuh daripada pihak kerajaan Kelantan.

"Antara kawasan sawah yang terlibat ialah Salor (Kota Bharu), Pasir Puteh, Jelawat dan beberapa lagi lokasi lain yang turut terkesan dengan masalah tersebut.

"Kerja-kerja ini dilakukan secara berperingkat-peringkat. Hal ini kerana, Kelantan berdepan dengan tenaga kerja untuk melakukan tugas tersebut buat masa ini," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, kerja-kerja menggali itu melibatkan kedalaman antara 42.6 meter hingga 76.2 meter bergantung kepada lokasi yang berdepan dengan masalah tersebut.

Tuan Mohd Saripudin memberitahu, selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan pam-pam bergerak dan jumlah keseluruhan yang diperuntukan untuk perkara ini bernilai RM200,000.

"Kerajaan negeri mengambil serius perkara ini. Pada masa sama, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan berpadu tenaga dalam berdepan situasi kemarau.

"Agensi negeri dan pusat yang terlibat ialah KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu), IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu) Kemasin Semerak, Jabatan Pertanian serta JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran)," katanya.

Dalam perkembangan lain, menurut beliau sebanyak 7,000 hektar kawasan padi di negeri ini telah mengalami kerosakan akibat kemarau dan pesawah yang terkesan boleh membuat laporan kepada Jabatan Pertanian bagi mendapatkan bantuan di bawah tabung bantuan bencana. - Sinar Harian